Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 08 APRIL 2026 : Kerajaan Negeri Pahang komited untuk terus memperkukuh kedudukan negeri ini sebagai antara yang terkehadapan di peringkat nasional dan antarabangsa, susulan pelbagai pencapaian membanggakan yang diraih kebelakangan ini.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, usaha ini termasuklah dalam bentuk ekonomi dan fizikal yang dilihat dapat memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini.

“Semalam, saya difahamkan, kita diumumkan bahawa dua daerah di Pahang dapat bandar bahagia, iaitu Raub dan Lipis. Bermakna Negeri Pahang ni, setiap sekali ada pengumuman yang memberi penghargaan, Negeri Pahang tidak tercicir. Malahan beberapa hari ni, Indesk Perpaduan Nasional, kita dapat nombor satu.
“Ini satu yang saya fikir membanggakan rakyat Negeri Pahang dan Kerajaan Negeri Pahang akan teruskan usaha-usaha untuk mempertingkatkan lagi kemajuan Negeri Pahang sama ada fizikal, ekonomi dan juga lain-lain yang bersabit dengan rakyat,” katanya.

Mengulas mengenai kedudukan keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), beliau berkata Kerajaan Negeri akan melakukan yang terbaik kepada pelajar di negeri ini.
“Bagi pihak Kerajaan, kita buat yang terbaik, kita menyediakan kemudahan yang terbaik. Tetapi selebih itu, ibu bapa dan anak-anak yang mainkan peranan.
“Saya juga ucapkan syabas, tahniah kerana kita berjaya mendapat tempat kedua terbaik di peringkat kebangsaan, negeri yang pertama, tetapi kalau termasuk Putrajaya, kita kedualah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Insentif Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 Maahad Tahfiz Negeri Pahang Dan Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang di Dewan Utama Kompleks Yayasan Pahang. -PAHANGMEDIA

