Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 04 APRIL 2026 : 63 persatuan silat di negeri ini menyerahkan memorandum sebagai tanda sokongan kepada Perdana Menteri bagi melaksanakan program Pendekar MADANI.
Memorandum berkenaan diserahkan oleh Yang Dipertua (YDP) PESAKA Pahang, YB. Dato’ Md Suhaimi Mohamed Shah kepada YAB. Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada Himpunan Pendekar MADANI Pahang serta Majlis Perasmian Kejuaraan Silat Piala PMX Pendekar MADANI 2026 semalam.
Menurut sekretariat program berkenaan, Encik Mohd Syahrizan Che Omar, memorandum yang diserahkan tersebut juga bagi menyatukan semua ahli silat dan persatuan silat di negeri ini.

“Memorandum itu sebagai satu sokongan untuk kita melaksanakan program MADANI ini bagi menyatukan semua ahli-ahli silat, menyatukan semua persatuan-persatuan silat di bawah pimpinan kita sekarang.
“Menyatukan bahawa 63 persatuan di bawah Negeri Pahang ini menyokong dengan program yang kita laksanakan ini. Tiada kaitan langsung dengan isu semasa.
“Memorandum itu hanya memorandum menyokong dan juga memberi sokongan yang kuat untuk program penyatuan silat ini yang digelar sebagai pendekar MADANI ini. Ia ke arah kepada penyatuan warisan kita, warisan silat ini,” katanya.

Turut mengiringi YAB Perdana Menteri ke program berkenaan, YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin.
Program ini menghimpunkan hampir 4,000 pengujung termasuk 1,500 peserta daripada persatuan-persatuan silat di seluruh negeri ini yang akan berlangsung selama tiga hari sehingga Ahad ini.
Program yang julung kali diadakan di negeri ini turut menyaksikan penyerahan Piala Pusingan Kejuaraan Silat Piala PMX yang diserahkan oleh Presiden Pendekar MADANI, Muhammad Khoharullah Datuk Raja Abdul Majid dan bekas pesilat negara, Mohd Al Jufferi Jamari. -PAHANGMEDIA

