Oleh : Ahmad Fansuri Mohamad Nasir
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
JOHOR, 03 APRIL 2026 : Seramai 48 alumni Program Pahang Lead menyertai program pendedahan kepimpinan pelajar di peringkat tempatan dan antarabangsa menerusi inisiatif anjuran Kerajaan Negeri Pahang dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) dan Yayasan Pahang (YP).
Program tersebut berlangsung di Johor Bahru dan Singapura dari 2 hingga 5 April 2026, melibatkan penyertaan aktif alumni bersama sokongan 33 orang urusetia yang memastikan kelancaran pelaksanaannya.
Menurut Pengarah Akademi Pahang 1st, Encik Hamizi bin Yaakub, program ini diharap dapat membuka ruang kepada peserta untuk menimba ilmu dan pengalaman baharu dalam aspek kepimpinan.
“Hari ini, alumni berpeluang melawat Institut Dato’ Onn (IDO), Iskandar Puteri. Saya sangat bersyukur dapat hadir bersama 48 alumni ke IDO.

“Di sini, kita dapat belajar banyak perkara memandangkan institut ini telah beroperasi selama 26 tahun. Banyak pengalaman serta khidmat yang telah mereka laksanakan.
“Kita lihat program-program yang dijalankan sangat baik untuk dipelajari dan dibawa pulang ke Pahang. Kita juga berharap dapat mencapai tahap yang sama seperti IDO pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Program Sinergi Kepimpinan: Lawatan Penanda Aras Alumni Pahang Lead Akademi Pahang 1st ke Institut Dato’ Onn, Iskandar Puteri, di sini semalam.
Program ini bertujuan memberi pendedahan kepada peserta mengenai amalan kepimpinan pelajar di peringkat tempatan dan antarabangsa, di samping memperluas jaringan hubungan antara pelajar, pegawai, guru serta institusi pendidikan di Johor dan Singapura.
Selain itu, ia turut memberi penekanan terhadap peningkatan kemahiran komunikasi, kerjasama berpasukan serta kepimpinan dalam kalangan peserta sebagai persediaan menghadapi cabaran masa hadapan.

Sepanjang program, para peserta mengikuti pelbagai aktiviti termasuk sesi kepimpinan, latihan pembinaan karakter, pertukaran budaya serta lawatan akademik ke institusi terpilih di Johor dan Singapura.
Pihak penganjur memaklumkan bahawa program ini bukan sahaja menekankan kecemerlangan akademik, malah memberi fokus kepada pembentukan sahsiah, semangat kerja berpasukan serta keupayaan membuat keputusan dalam situasi mencabar.
Para peserta turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pahang atas peluang yang diberikan, sambil menyifatkan pengalaman tersebut sebagai pendedahan berharga dalam membina keyakinan diri dan daya kepimpinan.
Program Pahang Lead terus dilihat sebagai platform strategik dalam melahirkan generasi pelapis negeri yang berwibawa, beridentiti serta mampu bersaing di peringkat global. -PAHANGMEDIA

