Oleh : Norhafizan Zulkifli
PERAK, 01 APRIL 2026 : Mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabai, Puan Kamache a/p Doray Rajoo melahirkan rasa terharu dan tidak menyangka menerima kunjungan daripada YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin di kediamannya di Medan Klebang Mewah, Chemor, di sini hari ini.
Katanya, kehadiran YB. Speaker Dewan Negeri Pahang amat bermakna terutama ketika dirinya berdepan keadaan sukar selepas tidak lagi memegang jawatan sebagai wakil rakyat.
“Saya memang tidak sangka dan tidak tahu pun YB. Speaker akan melawat bekas ADUN. Saya rasa sangat ‘overwhelming’, tak pernah terfikir perkara ini berlaku.

“Selepas kalah dalam pilihan raya lepas, saya terpaksa pulang ke kampung halaman dan merasakan seperti keseorangan tanpa perhatian mana-mana pihak,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Tambahnya, beliau sebelum ini menganggap perbezaan politik antara kerajaan dan pembangkang akan menjadi penghalang kepada sebarang bentuk perhatian atau bantuan.
“Saya fikir kalau kita daripada pembangkang, kita akan sentiasa berlawanan dengan kerajaan. Tetapi orang pertama yang datang jumpa saya adalah daripada UMNO.
“Itu yang saya tak sangka dan sangat hargai usaha ini,” ujarnya yang sebelum ini pernah menyandang jawatan sebagaI ADUN Sabai selama dua penggal bermula pada tahun 2013 sehingga tahun 2022.

Katanya lagi, beliau sebelum ini ada menghubungi YB. Speaker Dewan Negeri Pahang bagi memaklumkan keadaan dirinya dan terkejut apabila menerima maklum balas untuk diziarahi.
“Mula-mula bila dapat panggilan nak datang melawat, saya ingat ini mungkin gurauan April Fool, tapi rupanya betul. Saya sangat gembira, berterima kasih dan bersyukur atas keprihatinan ini,” katanya memaklumkan memerlukan bantuan bagi merawat suaminya yang kini menghidap penyakit kronik.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri Pahang di bawah pimpinan YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail atas usaha konsisten dalam menjaga kebajikan bekas wakil rakyat tanpa mengira parti politik selain dalam masa sama mencadangkan agar satu program khas diwujudkan bagi menghimpunkan semua bekas ADUN bagi mendengar sendiri keperluan dan situasi mereka.
“Saya percaya tidak semua bekas ADUN hidup senang. Ada yang sudah berusia dan memerlukan perhatian. Mungkin Pahang boleh jadi negeri pertama yang melaksanakan program seperti ini,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

