Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 31 MAC 2026 : Tiga sekolah menengah harian tersenarai dalam 12 buah sekolah mencapai Gred Purata Sekolah (GPS) terbaik bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di negeri ini.
Menurut Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Tuan Haji Ahmad Zamri Md Isa, kesemua 12 sekolah tersenarai ini memperoleh sekurang-kurangnya GPS 2.30 mata.
“Daripada 12 buah sekolah tersebut, enam buah sekolah mencapai GPS kurang daripada 2.00 mata. Menariknya kali ini, tiga daripada 12 buah sekolah berkenaan merupakan sekolah menengah harian. Sebanyak 123 buah sekolah telah menunjukkan peningkatan GPS bersamaan 65.08 peratus.
“Tiga sekolah menengah harian tersebut adalah SMK Abdul Rahman Talib, Kuantan; SMK Seri Tualang, Temerloh; dan SMK Sultanah Hajah Kalsom, Kuantan.
“Sekolah lain yang mencatatkan GPS terbaik adalah Maahad Tahfiz Darul Ulum Al-Basriyah, Kuantan; SMA Al-Maarif, Kuantan; Sekolah Menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan; SMK Agama Tengku Ampuan Hajjah Afzan, Jerantut; Sekolah Menengh Sains Tengku Abdullah, Raub; SBPI Kuantan, Kuantan; SMA Bentong, Bentong; SBPI Temerloh, Temerloh; dan SBPI Tun Abdul Razak, Pekan,” katanya.
Beliau berkata Kuantan merekodkan jumlah calon tertinggi menduduki peperiksaan berkenaan manakala Cameron Highlands merekodkan jumlah calon yang terendah.
“Bentong merekodkan data prestasi bagi kehadiran calon peperiksaan tertinggi iaitu sebanyak 99.04 peratus diikuti Bera, Kuantan, dan Jerantut.
“Bagi calon layak menerima sijil (LS) pula Pekan merekodkan peratusan tertinggi iaitu 99.03 peratus calon layak, diikuti Lipis, Rompin, dan Jerantut.
“Manakala bagi Gred Purata Negeri (GPN), Kuantan dan Pekan merekodkan mata terbaik iaitu masing-masing 3.89 mata, diikuti Lipis,” katanya. -PAHANGMEDIA

