Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 27 MAC 2026 : Status projek Menggantikan Jambatan Di Laluan Persekutuan FT12 (Segamat-Gambang) melebihi jadual yang ditetapkan setakat ini dengan berada pada 79.88 peratus.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim, mengikut jadual kemajuan, projek berkenaan sepatutnya berada pada 77.79 peratus.
“Kemajuan fizikal setakat 15 Mac adalah sebanyak 79.88 peratus lebih 2.09 peratus daripada yang dijadualkan.
“Kemajuan kewangan bagi projek ini dalam tempoh sama adalah sebanyak 65.88 peratus iaitu RM8,093,506 berbanding yang dijadualkan iaitu 73.73 peratus atau RM8,497,348,” katanya.
Penggantian jambatan berkenaan dilakukan berikutan struktur sedia ada di Seksyen 102 telah mengalami mendapan dan kerosakan akibat limpahan air hujan luar biasa pada 7 Januari tahun lepas.
Mendapan dan kerosakan struktur jambatan telah menyebabkan Jalan Kuantan – Segamat (FT12) yang merupakan laluan utama menghubungkan antara Negeri Pahang, Johor dan Negeri Sembilan ditutup untuk semua jenis kenderaan dan kenderaan dilencongkan sementara menggunakan jambatan bailey. -PAHANGMEDIA

