Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
KUANTAN, 18 MAC 2026 : Kerajaan Negeri Pahang telah mencatatkan pencapaian positif dan membuktikan negeri ini berada di landasan yang tepat dalam pembangunan ekonomi dan sosial.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, ia dapat dilihat melalui kadar Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri yang menunjukkan prestasi memberangsangkan melepasi purata nasional.
“Alhamdulillah kita berada di dalam landasan yang cukup baik dimana KDNK kita melepasi paras nasional sebanyak 57 peratus daripada 51 peratus, kadar pengagguran daripada 18,000 tinggal 12,000, projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) insyaAllah akan siap pada tahun ini dan beroperasi pada tahun hadapan.
“Indeks perpaduan kaum Pahang meraih tempat pertama, maknanya tidak ada pergaduhan dan Negera kita telah dilahirkan sebegini. Kita ada bangsa Cina, Melayu, India, Orang Asli, Punjabi, dan kalau ke sana lagi kita ada Kadazan, Iban, Dayak dan sebagainya.
“Kita bagi orang yang menunaikan haji sebanyak RM750, penjawat awam kita bagi dua bulan gaji untuk Bantuan Khas Kewangan tanpa meminta duit daripada Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Cek Sumbangan Kerajaan Negeri Pahang di Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS), hari ini.
Tambahnya, kerajaan pada hari ini merupakan kerajaan yang dipilih oleh rakyat untuk menjalankan amanah khususnya dalam pengurusan kewangan negeri dengan baik.
“Kerajaan yang ada pada hari ini adalah kerajaan yang dipilih oleh rakyat dan kita jalankan amanah dimana kita uruskan kewangan dengan baik dan kita boleh serahkan balik kepada rakyat.
“Oleh itu, kita jaga Negeri Pahang dan jaga apa yang kita ada. InsyaAllah Pahang akan menjadi diantara negeri yang paling baik dalam masa yang terdekat,” katanya. -PAHANGMEDIA.

