Oleh: Norhafizan Zulkifli
TEMERLOH, 15 MAC 2026 : Kerajaan Negeri Pahang memandang serius isu pembuangan sampah terutama di kawasan Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) yang sering menjadi tumpuan pengguna jalan raya khususnya ketika musim perayaan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Arif berkata, tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas termasuk pelaksanaan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) akan dipertingkatkan bagi mendidik masyarakat supaya lebih bertanggungjawab menjaga kebersihan.

“Pihak Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) akan terus mempertingkatkan pemantauan dan penguatkuasaan di kawasan tumpuan awam termasuk di lokasi panas atau hotspot yang sering dikenal pasti berlaku pembuangan sampah secara tidak bertanggungjawab.
“Ini juga termasuklah lebuh raya Lingkaran Tengah Utama (LTU) ataupun CSR yang yang melalui Kuala Lipis yang sebelum ini didapati terlibat dalam pembuangan sampah yang tidak terkawal.
“Jadi saya harap pihak SWCorp akan terus dapat mempertingkatkan pemantauan di kawasan-kawasan yang terbabit dan ‘hotspot’ tadi,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri sesi libat urus pelaksanaan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) bagi kesalahan membuang sampah kecil di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Temerloh arah Barat di sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Bahgian, Bahagian Kerajaan Tempatan Negeri Pahang, YH. Dato’ Khairun Nissa Aris; Datuk Bandar Kuantan, YH. Dato’ Zaliza bin Zulkipli; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Temerloh, YH. Tuan Rizal Mustafa; dan Pengarah SWCorp Negeri Pahang, YH. Tuan Cairul Hisham Jalaluddin
Tambahnya, pelaksanaan PKM sebagai hukuman alternatif bagi kesalahan membuang sampah kecil telah berkuat kuasa pada 1 Januari lalu dan dilaksanakan serentak di tujuh negeri yang menerima pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).
“Bagi negeri Pahang sahaja, sebanyak 641 unit sepanduk dipasang iaitu 371 unit dalam bahasa Melayu dan 270 unit dwibahasa bagi memastikan mesej kesedaran ini dapat disampaikan dengan lebih meluas kepada masyarakat,” katanya.
Selain itu, sebanyak 20 papan iklan digital turut digunakan di seluruh negeri terlibat termasuk di semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Pahang.
Sehingga 15 Mac lalu, SWCorp Negeri Pahang telah mengeluarkan 158 notis pemberitahuan kesalahan membuang sampah kecil melibatkan 140 warganegara tempatan dan 18 warganegara asing.
Daripada jumlah itu, seramai 26 individu telah dihadapkan ke mahkamah dengan 16 kes telah dijatuhkan hukuman manakala selebihnya masih menunggu tarikh sebutan.
“Individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 serta menjalani khidmat masyarakat sehingga maksimum 12 jam dalam tempoh enam bulan,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya menjaga kebersihan kawasan tumpuan awam termasuk R&R lebuh raya menjelang sambutan Aidilfitri yang bakal tiba.-PAHANGMEDIA

