Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
LIPIS, 14 MAC 2026 : Bantuan Sempena Aidilfitri Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) yang diberikan sejak 2015 bukti pengurusan kewangan yang baik oleh perbadanan berkenaan.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, ini juga menjadi penanda perbadanan tersebut memiliki keupayaan kewangan yang stabil.

“Hari ini saya menyampaikan sumbangan Bantuan Aidilfitri kepada 866 orang penerima, di mana mereka akan menerima sebanyak RM700 setiap seorang.
“Dan ini bantuan ini, kita boleh katakan acara tahunan sebab PKPP dari segi kewangannya stabil, keupayaan kewangannya boleh diuruskan dengan baik.
“Saya ingin ucapkan syabas, tahniah kepada PKPP, khususnya kepada CEO, kepada pegawai dan kepada seluruh kakitangan,” katanya pada Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri PKPP Tahun2026 bersamaan 1447 Hijrah di Daerah Lipis di Dewan Balora, Benta.

Beliau berkata bantuan Penyampaian Sumbangan Aidilfitri PKPP ini juga dapat meringankan bebanan kewangan para peserta Rancangan Sosial PKPP menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.
“Ianya boleh meringankan bebanan kewangan untuk menghadapi Hari Raya. Jadi bolehlah juga beli peralatan-peralatan asas untuk menghadapi Aidilfitri.
“Kita harap mereka boleh berbelanja dengan berhemah sebab duit yang diberi pun tidak banyak,” katanya.

PKPP memperuntukkan RM606,200 untuk diagihkan kepada 866 orang peserta daripada tujuh Rancangan Sosial PKPP dengan setiap peserta akan menerima bantuan tunai sebanyak RM700 seorang.
Bagi daerah Lipis, sebanyak RM275,800 diperuntukkan khusus kepada peserta Rancangan Sosial di Daerah Lipis melibatkan tiga rancangan sosial, iaitu RPSK Merapoh, RPSK Jerkoh dan RPSK Peruang melibatkan 394 orang peserta.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benta; Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air., Dato’ Sri Abdul Rahman Hj Mohamad yang juga Ahli Parlimen Lipis; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, YB. Dato’ Mustapha Haji Long; dan Pegawai Daerah Lipis, Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim. -PAHANGMEDIA

