Oleh : Syafiqah Jamaluddin
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 14 MAC 2026 : Sembilan individu termasuk empat warga asing ditahan kerana mengemis dalam Operasi Tindakan Mengambil Orang Papa yang dilaksanakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pahang di beberapa lokasi bazar Ramadan serta kawasan bank sekitar bandar Kuantan, semalam.
Operasi yang berlangsung dari jam 5 petang hingga 10 malam itu tertumpu di beberapa kawasan tumpuan orang ramai termasuk Bazar Ramadan Taman Kerang, Bazar Ramadan Stadium Darul Makmur dan Bazar Ramadan Taman Tas.

Selain itu, pemantauan turut dijalankan di kawasan bank sekitar Taman Kerang dan Jalan Beserah bagi membendung aktiviti pengemisan di lokasi yang sering menjadi tumpuan orang ramai, khususnya sepanjang bulan Ramadan.
Susulan operasi tersebut, kesemua individu yang diselamatkan telah menjalani saringan awal di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kuantan bagi tujuan pengesahan identiti serta tindakan lanjut.

Hasil saringan yang dijalankan, empat individu telah dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan selanjutnya berkaitan status kewarganegaraan.
Sementara itu, lima individu warganegara tempatan dibebaskan dengan amaran selepas menandatangani Borang Aku Janji sebagai peringatan agar tidak mengulangi perbuatan berkenaan pada masa hadapan.

JKM Negeri Pahang memandang serius isu pengemisan di tempat awam dan akan terus mengambil langkah proaktif bagi memastikan kesejahteraan masyarakat serta ketenteraman awam sentiasa terpelihara.
Mengikut Seksyen 2 Akta Orang-Orang Papa 1977 [Akta 183], orang papa merujuk kepada individu yang mengemis di tempat awam sehingga boleh menimbulkan kegusaran atau kacau ganggu kepada orang ramai.– PAHANGMEDIA

