Oleh: Norhafizan Zulkifli
LIPIS, 14 MAC 2026 : Bantuan Khas Aidilfitri (BKA) yang disalurkan Kerajaan Negeri Pahang kepada petugas institusi masjid dan guru takmir bukan sahaja membantu dari segi kewangan, malah mencerminkan keprihatinan terhadap peranan mereka dalam mengimarahkan masjid serta membimbing masyarakat.
Imam Masjid Lentang, Bukit Tinggi, Bentong, Encik Ahmad Syaiful Adzli Zakaria, 42, berkata sumbangan yang diterima akan digunakan bagi membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga.

“Sumbangan ini membantulah untuk sambutan Aidilfitri yang akan datang ini. Saya mengucapkan berbanyak-banyak jutaan terima kasihlah kepada Kerajaan Negeri atas bantuan yang diberi pada hari ini yang dapat membantu sedikit sebanyaklah untuk persiapan Hari Raya,” katanya.
Sementara itu, bilal muda Masjid Sultan Abdullah Benta, Lipis, Encik Muhammad Ashari, 23, yang baru empat bulan memegang tugas tersebut mengakui sumbangan berkenaan amat bermakna buat petugas-petugas masjid.
“Saya mengucap terima kasih kepada YAB. Menteri Besar yang memberi sumbangan kepada imam, bilal dan siak.
“Bagi saya sangat membantu sebabnya banyak yang boleh ‘top up’ mana yang lompong-lompong, yang sedia adalah kiranya,” katanya.
Dalam pada itu, Guru Takmir dari Raub, Puan Wan Fauziah Wan Maidin, 72, berkata sumbangan berkenaan amat dihargai terutama oleh golongan agamawan yang masih aktif menyumbang kepada masyarakat walaupun sudah berusia.

Menurut beliau, bantuan tersebut akan disimpan sebagai persediaan masa hadapan memandangkan faktor usia yang memerlukan perancangan kewangan lebih berhati-hati.
“Jadi dengan sumbangan ini, saya mengucapkan ribuan terima kasihlah di atas kemurahan Kerajaan Negeri kepada para agamawan.
“Terima kasih. Semoga Allah SWT memberkati dan merahmati kepada Menteri Besar kita ya. Semoga Allah SWT memberikan kesihatan kepada beliau.
Kerajaan Negeri Pahang sebelum ini menyalurkan sebayak RM259,100 BKA kepada 1,086 imam, bilal, siak, guru takmir, wali hakim dan badan khairat kematian melibatkan daerah Lipis, Raub, Bentong dan Cameron Highlands sebagai penghargaan terhadap peranan mereka dalam memperkukuh syiar Islam di negeri ini.-PAHANGMEDIA

