Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
LIPIS, 13 MAC 2026 : Tuduhan liar yang dilemparkan terhadap Kerajaan Negeri Pahang tidak sedikit pun melemahkan semangat pentadbiran negeri ini untuk terus berkhidmat kepada rakyat.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebaliknya Kerajaan Negeri kekal komited memperkukuh pembangunan serta meningkatkan syiar Islam di negeri ini.

Beliau justeru itu mengingatkan kepada rakyat agar menilai berdasarkan fakta serta usaha sebenar yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri.
“Walaupun ada sikit sebanyak tuduhan-tuduhan liar yang dituduh kepada Kerajaan Negeri tetapi itu tidak melemahkan semangat kerana itu tidak benar.
“Kita terus bergerak ke hadapan untuk memastikan negeri kita terus maju dan menjadi negeri yang lebih maju daripada negeri-negeri yang lain.
“Cuma saya harap rakyat dapat menilai jangan terpengaruh dengan persepsi, sentimen isu dan fitnah dan penilaian mereka, mereka boleh lihat daripada apa yang kerajaan buat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Khas Aidilfitri (BKA) Kluster Agama kepada Imam, Bilal, Siak, Guru Takmir, Badan Khairat Kematian dan Wali Hakim bagi daerah Lipis, Raub, Bentong dan Cameron Highlands Tahun 2026 serta Majlis Berbuka Puasa di Masjid Felda Sungai Koyan 1, di sini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam; dan barisan ketua-ketua jabatan Kerajaan Negeri.
Bersempena majlis tersebut Kerajaan Negeri menyalurkan BKA melibatkan peruntukan sebanyak RM259,100 kepada 1,086 petugas institusi masjid di empat daerah berkenaan sebagai tanda penghargaan terhadap perkhidmatan mereka kepada masyarakat.
“Ini jelas menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri menghargai perkhidmatan mereka dan dalam masa yang sama sudah tentulah ada keupayaan kewangan yang membolehkan kita memberi Bantuan Khas Aidilfitri.

“Dan Kerajaan Negeri menghargai perkhidmatan mereka, kerja mereka kerana mereka ini sentiasa berdepan dengan rakyat, yang secara terus kepada rakyat dan sebagai menghargai tanda kasih kepada mereka, Kerajaan Negeri bagi sedikit sumbangan kepada imam, bilal, siak, guru takmir, wali hakim dan juga badan khairat masjid,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau berkata kestabilan politik dan perpaduan rakyat menjadi faktor utama yang membolehkan Kerajaan Negeri memberi tumpuan kepada pembangunan serta kebajikan rakyat.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan rakyat supaya tidak mudah terpengaruh dengan persepsi, sentimen serta fitnah yang boleh menjejaskan keharmonian dan kestabilan politik negeri.-PAHANGMEDIA

