Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
BENTONG, 13 MAC 2026 : “Ini (Program Ziarah Kasih) jadi satu inisiatif yang sangat bagus dan kami rasa sangat terharu dan bertuah,” kongsi Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tras, Tuan Choong Siew Onn,
Menurut Tuan Choong Siew Onn, program ini merupakan satu inisiatif yang sangat bernilai khususnya kepada bekas wakil rakyat yang telah bersara daripada perkhidmatan mereka.

“Jadi ini adalah satu program yang sangat bernilai semasa waktu bersara ini. Masih ada pemimpin yang ingat kami lagi semasa dalam menjalankan tugas yang lalu dan jarang-jarang daripada Dewan Negeri yang buat seperti ini.
“Program ini sangat digalakkan khususnya pemimpin yang sedang menghidap penyakit dan kurang berkemampuan. Mereka sangat memerlukan semangat daripada usaha Dewan Negeri apatah lagi YB. Speaker Dewan Negeri Pahang (Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin) sendiri turun melawat kami untuk memberi semangat dan sedikit sebanyak dapat meringankan beban,” katanya ketika dikunjungi dikediaman beliau di Taman Desa Damai.
Menurut Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bilut, YH. Dato’ Sri Hoh Khai Mun, beliau berasa amat terharu dengan penganjuran program ini kerana ia merupakan kali pertama dilaksanakan sepanjang tempoh beliau berkhidmat sebagai wakil rakyat.

“Saya memang senang hati kerana ini kali pertama YB. Speaker mengadakan program seperti sepanjang saya berkhidmat selama empat penggal yang lalu dan ini sangat menyentuh hati saya,” katanya ketika ditemui dirumahnya di Taman Bentong Makmur.
Manakala Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, YH. Dato’ Sri Haji Shahiruddin Ab. Moin, turut merakamkan penghargaan atas penganjuran program yang disifatkan sebagai satu inisiatif yang amat bermakna kepada bekas wakil rakyat.

“Saya nak mengucapkan terima kasih kepada YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail yang merestui Program Ziarah Kasih ini, program ini sangat baik dan akan memberi satu motivasi kepada bekas-bekas wakil rakyat untuk terus memberikan khidmat kepada Kerajaan Negeri Pahang.
“Saya sangat terharu Dewan Speaker ini sangat prihatin kepada bekas-bekas wakil rakyat datang meninjau,” katanya ketika ditemui dikediaman beliau di Simpang Kallang, Raub.
Sementara itu, YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin, lawatan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan bagi mengekalkan hubungan serta mengambil tahu perkembangan bekas-bekas wakil rakyat di negeri ini.
“Ini sebahagian daripada usaha berterusan yang saya lakukan untuk saya bertemu dengan Bekas ADUN dan kemudiannya kita beri sedikit maklumat kepada YAB. Menteri Besar Pahang tentang keadaan juga apa-apa keperluan yang mereka perlukan,” katanya selepas Program Ziarah Kasih YB. Speaker Dewan Negeri Pahang kepada Bekas Ahli Dewan Negeri Pahang.
Dalam pertemuan Program Ziarah Kasih Bekas Ahli Dewan Negeri Pahang tersebut, YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Datoโ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin turut menyampaikan Coffee Table Book Dewan Negeri Pahang kepada ketiga-tiga bekas Ahli Dewan Negeri berkenaan.
-PAHANG MEDIA

