Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
KUANTAN, 11 MAC 2026: Dakwaan yang tular disosial media berkaitan penganjuran Pesta Kumbh Mela di kawasan Bentong, khususnya di kawasan Bukit Tinggi adalah tidak benar.
Menurut satu kenyataan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Sabai, YB. Tuan V. Arumugam A/L Veerappa Pillai, menegaskan bahawa tiada sebarang penganjuran pesta keagamaan tersebut di Bentong atau di mana-mana kawasan di negeri Pahang.
“Untuk makluman semua, Pesta Kumbh Mela merupakan perayaan keagamaan Hindu yang hanya diadakan di negara India, di lokasi-lokasi suci tertentu seperti di Sungai Ganges dan beberapa bandar utama di negara tersebut. Oleh itu, dakwaan bahawa pesta tersebut diadakan di Bentong adalah tidak benar dan tidak berasas.

“Selain itu, individu yang dilihat memakai pakaian berwarna oren dalam video yang tular juga tidak mempunyai sebarang kaitan dengan pihak pengurusan tokong atau kuil di kawasan tersebut. Individu berkenaan dipercayai hanyalah seorang pengunjung yang hadir semasa satu upacara sembahyang yang diadakan kira-kira lima tahun yang lalu,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa kawasan yang tular merupakan tapak di tanah persendirian dan terdapat sebuah tokong Cina yang telah wujud kira-kira 25 tahun.
“Berdasarkan semakan serta kronologi sebenar tapak yang terlibat, kawasan tersebut terletak di dalam kawasan tanah milik. Di kawasan berkenaan juga telah lama wujud sebuah tokong Cina sejak kira-kira 25 tahun lalu.
“Sekitar awal tahun 2000, sebuah patung Dewa Brahma telah diletakkan berhampiran kawasan tersebut dan sejak itu penganut Hindu turut datang untuk melakukan sembahyang secara individu atau dalam kumpulan kecil.
“Tapak tersebut kemudiannya dikenali sebagai Brahma Rishi Hill Temple, yang pada asalnya hanyalah sebuah kuil kecil bagi tujuan pemujaan Dewa Brahma dan aktiviti kerohanian. Seiring dengan masa, tempat ini menjadi lokasi yang dikunjungi oleh penganut Hindu dan individu yang berminat dengan aktiviti spiritual,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyeru semua pihak agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan salah faham serta menjejaskan keharmonian masyarakat.
“Saya juga berharap masyarakat dapat menyemak kesahihan maklumat sebelum berkongsi di media sosial, supaya tidak menimbulkan kekeliruan atau ketegangan yang tidak perlu,” katanya. -PAHANGMEDIA

