Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
JERANTUT, 11 MAC 2026 : Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA) mencatatkan prestasi kewangan terbaik sejak ditubuhkan dengan pendapatan ladang mencapai RM273.13 juta tahun lepas berbanding RM224.88 juta pada 2024.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, KOSMA juga akan membayar dividen unit ladang berjumlah RM30.62 juta kepada 1,494 anggotanya hari ini.
“Prestasi tahun 2025 menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan berbanding tahun 2024, dengan pendapatan ladang meningkat kepada RM273.13 juta berbanding RM224.88 juta pada tahun sebelumnya, manakala keuntungan bersih meningkat kepada RM 177.63 juta pada tahun 2025 berbanding RM134.17 juta.

“Bersempena dengan Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang, KOSMA akan membayar pendahuluan dividen sebanyak satu unit ladang yang bernilai RM 6,000 berbanding RM5,500 pada tahun 2024 kepada semua anggota dengan jumlah keseluruhannya RM8.964 juta.
“KOSMA juga akan memberikan Bonus Raya sebanyak RM 2,000 kepada semua anggota yang berjumlah keseluruhan sebanyak RM2.986 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Pengumuman Pembayaran Dividen Unit Ladang KOSMA dan Bonus Raya Bagi Tahun Kewangan Yang Berakhir 31 Disember 2025 di Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Jerantut.
Tambah beliau pembayaran bagi baki dividen unit ladang pula akan dibayar selepas Mesyuarat Agung Tahunan KOSMA pada 20 Jun ini.
“…manakala dividen modal syer juga akan dibayar selepas mendapat kelulusan dari Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
“Kerajaan Negeri Pahang percaya dengan pengagihan unit ladang dan bonus raya ini akan dapat meringankan beban seluruh anggota KOSMA dalam melakukan persiapan menjelang Hari Raya Aidilfitri,” katanya. -PAHANGMEDIA

