Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
Foto: Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 10 MAC 2026 : Kerajaan Negeri Pahang akan membina sebuah Rumah Rakyat Pahang (RRP) kepada waris lima sekeluarga yang maut dalam kejadian kebakaran di Raub pada bulan lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, pembinaan rumah tersebut adalah berdasarkan titah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah.
“Di atas titah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni AlMarhum Sultan Haji Ahmad Shah, kita, Kerajaan Negeri Pahang dan bersama YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail telah bersetuju untuk menyumbangkan sebuah rumah RRP (Rumah Rakyat Pahang) kepada waris kebakaran yang masih tinggal di Raub.
“Tempoh untuk siap rumah RRP tidak lama, kebiasaannya ia mengambil masa dalam beberapa bulan sahaja,” katanya katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Siap Siaga Raya 2026 di Padang Majlis Bandaraya Kuantan 1, semalam.
Dalam pada itu, beliau menyatakan bahawa Kerajaan Negeri turut mempertimbangkan untuk membekalkan alat pemadam api di setiap unit rumah mampu milik yang akan dibina di negeri ini.
“Kita (Kerajaan Negeri Pahang) akan mempertimbangkan untuk membekalkan pemadam api di rumah mampu milik pada masa akan datang supaya ianya sedikit sebanyak dapat membantu untuk memadamkan api.
“Kita akan mengkaji perkara baik seperti ini dengan teliti, yang penting apabila dilaksanakan, ia dapat memberikan keselesaan dan kesejahteraan kepada rakyat,” katanya.
Dalam kejadian kebakaran pada 26 Februari lepas, lima mangsa iaitu Mohd Alawi Muhammad, 56, isterinya, Zaleha Adam @Ibrahim, 44, serta tiga anak mereka, iaitu Ruby Adira Batrisya Mohd Alawi, 17, Ruby Adlina Banin Mohd Alawi, 14, dan Ruby Azyan Barizah Mohd Alawi, 10 telah terkorban dalam kejadian kebakaran melibatkan kemusnahan 100 peratus struktur rumah selain turut membabitkan tiga kereta dan tiga motosikal yang turut terbakar.
Pasangan tersebut meninggalkan dua anak, Ruby Adalia Balqis Mohd Alawi, 19, pelajar Kolej Matrikulasi Gambang, Kuantan dan Ahmad Balia Murqam Mohd Alawi, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dong, Raub. -PAHANGMEDIA

