Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 10 MAC 2026 : Kerajaan Negeri Pahang sentiasa terbuka untuk membantu dan bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk dalam aspek kebajikan anggota serta program kemasyarakatan yang memberi manfaat kepada rakyat negeri ini.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, berkata sebagai tanda sokongan terhadap jasa dan pengorbanan anggota tentera, Kerajaan Negeri mengumumkan sumbangan RM30,000 kepada Tabung Kebajikan warga ATM di negeri ini.

Menurutnya, sumbangan tersebut merupakan bantuan permulaan dan Kerajaan Negeri bersedia menyalurkan bantuan tambahan pada masa hadapan sekiranya diperlukan.
“Jadi hari ini saya dengan suka citanya mengumumkan Tabung Kebajikan untuk warga angkatan tentera di sini sebanyak RM30,000. Itu bantuan awal… permulaan. InsyaAllah kita akan bantu lagi,” katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Warga ATM Negeri Pahang bersama YAB Menteri Besar Pahang di Rejimen Pertama Kor Diraja, Kem Batu 10, di sini semalam.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam; Pengelola Bijaya Diraja KDPB Sultan Pahang, YH. Mejar Jeneral Dato’ Mohamed Zahari Dato’ Haji Yahya TUDM; Pangloma Angkatan Bersam, YH. Leftenan Jeneral Dato’ Tengku Muhammad Fauzi bin Tengku Ibrahim; barisan ketua-ketua jabatan dan pimpinan setempat.
Tambahnya, Kerajaan Negeri menyambut baik penglibatan ATM dalam pelbagai program kemasyarakatan termasuk membantu membina dan membaik pulih masjid serta surau di kawasan kampung di negeri ini.

Katanya lagi, usaha seperti program Kampung Angkat Madani yang dilaksanakan ATM dilihat mampu mengeratkan hubungan antara anggota tentera dan masyarakat setempat.
“Saya percaya ini satu usaha yag sangat baik, Kampung Angkat Madani, dan saya minta supaya kalau boleh diperbanyakkan lagi di Pahang ini.
“Kerana di Pahang, insyaAllah kita sangat terbuka dan sangat menerima kalau sekiranya lagi banyak program Kampung Angkat Madani yang dianjurkan oleh ATM,” ujarnya.
Beliau dalam pada itu berharap agar anggota tentera dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada negeri dan negara.
“Dan bagi Kerajaan Negeri Pahang, kalau sekiranya ada apa-apa insyaAllah kita akan bantulah,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

