Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
Foto: Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 10 MAC 2026 : Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pahang akan menempatkan jentera dan pasukannya di beberapa lokasi strategik sepanjang lebuhraya utama bagi meningkatkan lagi kecekapan respon kecemasan semasa musim perayaan Aidilfitri.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, penempatan di beberapa lokasi strategik ini bermula 19 Mac sehinggalah 24 Mac depan.

“Sebagai langkah tambahan untuk meningkatkan lagi kecekapan respon kecemasan, jentera dan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Pahang akan ditempatkan di beberapa lokasi strategik sepanjang lebuh raya utama khususnya di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Temerloh, R&R Gambang, dan R&R Genting Sempah bermula 19 Mac sehinggalah 24 Mac 2026 iaitu ketika kemuncak perjalanan pulang ke kampung halaman masing-masing.
“Langkah ini bagi memastikan masa tindak balas atau respon time pasukan penyelamat ini dapat dipertingkatkan sekoranya berlaku sebarang kecemasan sepanjang tempoh perjalanan pulang ke kampung halaman masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Siap Siaga Raya 2026 di Padang Majlis Bandaraya Kuantan 1, semalam.
Mengulas mengenai usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap aspek keselamatan kebakaran, beliau berkata Kerajaan Negeri Pahang terus mempergiat menerusi penganjuran kempen keselamatan kebakaran sempena Siap Siaga Raya 2026 Peringkat Negeri Pahang.

“Penganjuran kempen ini adalah bertepatan dengan usaha-usaha berterusan bagi Kerajaan Negeri dan agensi keselamatan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat kita terhadap aspek keselamatan kebakaran serta langkah-langkah pencegahan awal khususnya menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan tiba tidak lama lagi.
“Melalui kempen ini sebanyak 103 aktiviti ceramah, pameran dan demonstrasi keselamatan kebakaran telah dirancang untuk diadakan sepanjang musim perayaan ini dan 32 aktiviti kempen keselamatan air yang melibatkan lebih 10,000 orang terus dijadualkan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru orang ramai agar sentiasa mengambil berat aspek keselamatan kebakaran di premis masing-masing termasuk memastikan pendawaian elektrik berada dalam keadaan baik, tidak menggunakan soket elektrik secara berlebihan serta menyediakan alat pemadam api sebagai langkah pencegahan awal.
Tambahnya, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pahang telah melaksanakan sebanyak 101 pemeriksaan premis, di mana 32 notis keselamatan kebakaran telah dikeluarkan.
“…melibatkan sembilan premis yang dikenal pasti tidak mematuhi keperluan keselamatan kebakaran yang ditetapkan.
“Langkah pemeriksaan seperti ini amat penting bagi memastikan sebarang risiko kebakaran dapat dikenal pasti lebih awal serta membolehkan tindakan pembetulan diambil dengan segera sebelum berlakunya kejadian yang tidak diingini,” katanya. -PAHANG MEDIA

