Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
TEMERLOH , 10 MAC 2026 : Peserta FELCRA Berhad di negeri ini mencatatkan agihan pendapatan tertinggi dengan jumlah agihan keseluruhan RM204 juta setelah hampir 20 tahun menerima agihan pada kadar minimum.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata agihan keseluruhan dibayar melalui tiga peringkat pembayaran kepada 18,805 peserta FELCRA di negeri ini.

“Sebelum ini dah hampir 20 tahun kita dapat yang minimum. Tapi kali ini kita dapat jumlah yang besar sebagaimana Yang Berhormat Datuk Wan sebut tadi Pahang mencatat pendapatan yang tertinggi berbanding dengan negeri lain. Ini mungkin sebab faktor ladang kita luas dan juga faktor pengurusan yang teratur.
“Interim yang pertama RM34.18 juta pada Ogos dulu dan juga yang kedua pada Oktober, RM65.40 juta, dan pada Ramadan tahun 2026 untuk dividen tahun lepas sebanyak RM104.41 juta.
“Ini sudah tentu akan memberi makna yang sangat bererti kepada peserta-peserta di Negeri Pahang dan juga tambahan lagi di bulan Ramadan dan tak lama lagi mereka akan menyambut hari raya Aidilfitri,” katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada pihak FELCRA yang telah berjaya menguruskan ladang dengan baik dan teratur sehingga mencatatkan agihan pendapatan tertinggi.
“Saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada FELCRA yang berjaya menguruskan ladang, tanah-tanah yang telah diamanahkan oleh Kerajaan Negeri dan menjadi satu agensi kKerajaan Persekutuan yang begitu efektif untuk memastikan para peserta dapat menikmati hasil-hasil yang daripada ladang-ladang yang telah disediakan.

“Jadi saya yakin benda ini akan dapat kita teruskan di masa akan datang. Sudah tentu memang tak dapat dinafikan ini faktor kerana harga yang sedikit meningkat. Tetapi kalau harga meningkat pun pengurusan itu tidak diuruskan dengan betul, dia tak dapat juga dengan jumlah yang seumpama ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Pendampingan Peserta dan Majlis Kesyukuran Agihan Akhir FELCRA Berhad Negeri Pahang 2025 di Dewan Hubabah, Kampung Bukit, Seding Dato Shariff Ahmad, Kuala Krau semalam. -PAHANGMEDIA

