Oleh: Syafiqah Jamaluddin
Foto : Nur Saadah Artika
KUANTAN, 10 MAC 2026 : Seramai 400 keluarga kurang berkemampuan di Pahang menerima sumbangan bakul makanan daripada Yayasan PETRONAS menerusi Program Memacu Kehidupan: Hari Raya Aidilfitri 2026 yang diadakan di Hotel Grand Darul Makmur, di sini semalam.
Program dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu diadakan sebagai sebahagian daripada usaha menyemarakkan kemeriahan Aidilfitri dalam kalangan golongan yang memerlukan.
Pengurus Besar PETRONAS Wilayah Pantai Timur, Encik Mohammad Ahmad Shazly Ramli berkata, inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen berterusan yayasan tersebut dalam membantu meringankan beban masyarakat, khususnya menjelang musim perayaan.

“Kami berharap sumbangan ini dapat membawa kegembiraan serta sedikit kelegaan kepada para penerima dan keluarga dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri,” katanya.
Sumbangan tersebut disampaikan beliau kepada Pengarah JKM Pahang, Encik Khairul Amri Ahmad sebagai wakil kepada Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan.
Difahamkan setiap keluarga menerima pek perayaan yang mengandungi barangan makanan asas seperti beras, minyak masak, bihun, gula, tepung, garam serta kari ayam dalam tin, selain minuman teh dan coklat malta.
Mereka juga turut menerima barangan bertemakan perayaan termasuk kacang tanah, biskut raya, beras pulut, santan kotak serta pes rendang dan pes kuah kacang bagi membantu persiapan menyambut Aidilfitri.
Tambahnya, sumbangan itu melibatkan penerima dari kesemua 11 daerah di Pahang iaitu Bentong, Bera, Cameron Highlands, Jerantut, Kuantan, Lipis, Maran, Pekan, Raub, Rompin dan Temerloh bagi memastikan bantuan dapat disalurkan secara menyeluruh kepada golongan yang memerlukan.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, program tersebut turut dilaksanakan di negeri Pantai Timur lain iaitu Terengganu dan Kelantan dengan keseluruhan 1,250 keluarga menerima manfaat di rantau itu.
Secara keseluruhan, Yayasan PETRONAS menyalurkan sumbangan hampir RM1 juta kepada kira-kira 4,850 keluarga di seluruh negara, melibatkan penerima di 13 negeri serta tiga Wilayah Persekutuan bagi membantu golongan memerlukan membuat persiapan menyambut Aidilfitri.-PAHANGMEDIA

