Oleh : Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 09 MAC 2026 : Kerajaan Negeri Pahang merekodkan peningkatan memberangsangkan dalam prestasi kutipan hasil negeri sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sekali gus memperkukuhkan kedudukan kewangan negeri.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pencapaian tersebut adalah hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk pembayar cukai yang melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik.
Katanya sumbangan yang diberikan secara langsung membantu meningkatkan hasil negeri dan membolehkan kerajaan melaksanakan lebih banyak inisiatif pembangunan serta program kebajikan untuk rakyat.
“Di kesempatan ini, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak, khususnya kepada pembayar cukai yang telah melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan semua pihak yang masih mempunyai tunggakan hasil negeri agar segera menjelaskan bayaran berkenaan.
Tambahnya, tanggungjawab tersebut bukan sahaja melibatkan pembayar cukai biasa, malah semua pihak yang mempunyai kepentingan serta penglibatan dalam pengurusan dan penggunaan tanah di negeri ini.
“Dalam masa yang sama, Kerajaan Negeri berharap agar semua pihak yang berkaitan dapat terus melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan menjelaskan cukai serta tunggakan hasil kepada Kerajaan Negeri.
“Harapan ini turut ditujukan kepada semua pihak yang mempunyai kepentingan serta penglibatan dalam pengurusan dan penggunaan tanah di negeri ini agar sentiasa memastikan segala kewajipan yang berkaitan dengan hasil negeri diselesaikan dengan sewajarnya,” katanya.
Beliau juga berkata, peningkatan kutipan hasil negeri amat penting kerana hasil yang diperoleh akan dikembalikan semula kepada rakyat melalui pelbagai projek pembangunan, penyediaan kemudahan awam serta program kebajikan.
“Kerajaan Negeri akan terus komited memastikan pengurusan hasil negeri diperkasakan demi menjamin kemakmuran serta kesejahteraan rakyat Pahang secara berterusan,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

