Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
LIPIS, 09 MAC 2026 : Keprihatinan Kerajaan Negeri di bawah pimpinan YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail terhadap kebajikan rakyat negeri ini terus terserlah apabila setiap permohonan bantuan yang dibuat sentiasa mendapat perhatian dan tindakan segera.
Semalam, seramai 31 penerima di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai menerima sumbangan berjumlah RM162,100 sempena Majlis Berbuka Puasa YAB. Menteri Besar Pahang Bersama-sama Masyarakat Kampung Keledek yang berlangsung di Masjid Kampung Keledek, di sini.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kerambit, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Tanjung Buluh, Encik Mohd. Najid Abu, 51, berkata walaupun jumlah bantuan yang dimohon mungkin kecil, permintaan rakyat tidak pernah dihampakan.

“Kerajaan negeri memang perhatin. Tiap-tiap kali minta mesti dia bagi biar pun sikit dia bagi. Alhamdulillah dia bagi. Terima kasih,” katanya.
Dia dalam masa sama turut merakamkan penghargaan atas sumbangan yang diberikan Kerajaan Negeri untuk pembangunan sukan kriket SMK Kerambit.
“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Negeri, terima kasih juga kepada YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail,” ujarnya.

Seorang lagi penerima, Encik Mohd Nasir Ibrahim, 62, pula berkata, sikap mesra dan tidak sombong yang ditunjukkan oleh YAB. Menteri Besar Pahang memudahkan rakyat untuk berjumpa dan menyuarakan masalah mereka.
“Terima kasihlah MB (Menteri Besar) bagi bantuan. MB… jumpa mana-mana pun dia peramahlah, tak sombonglah dengan kita.. Memang dia baiklah, kita jumpa mana-mana pun dia terimalah kita. Susahlah nak cari macam dia ini. Terima kasihlah sekali lagi,” katanya.
Encik Mohd Nasir justeru itu turut merakamkan penghargaan atas bantuan diterimanya yang akan digunakan bagi membaik pulih kerosakan rumahnya yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh hampir setahun lalu.

Bagi seorang lagi penerima, Puan Siti Habidah Daud, 68, berkata sumbangan yang diterima akan digunakan untuk menyiapkan serta membaik pulih rumahnya yang sebelum ini belum sempat disiapkan selepas kematian suaminya.
“Terima kasih atas sumbangan ini kepada YAB Menteri Besar Pahang dan Kerajaan Negeri. Terima kasih banyak-banyak. Prihatin… bersyukurlah (terima bantuan),” katanya. -PAHANGMEDIA

