Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
PEKAN, 08 MAC 2026 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah menyeru rakyat di negeri ini agar menjadikan Al-Quran sebagai panduan utama dalam melaksanakan amanah serta menjauhi segala bentuk rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.
Paduka Baginda bertitah, penghayatan terhadap nilai-nilai yang terkandung dalam Al-Quran mampu melahirkan sebuah pentadbiran yang bersih, berintegriti dan adil.
“Sekiranya nilai-nilai Al-Quran benar-benar dihayati dalam jiwa setiap daripada kita, maka akan lahirlah sebuah pentadbiran yang bersih, berintegriti dan adil, sekali gus memastikan kesejahteraan rakyat serta kemakmuran negeri terus terpelihara.
“Justeru saya ingin menegaskan bahawa seluruh batang tubuh yang memikul tanggungjawab, menguruskan urusan pentadbiran dan kepentingan rakyat hendaklah sentiasa menjunjung tinggi nilai amanah, integriti dan kejujuran dalam setiap tugasan yang dilaksanakan.
“Jangan sekali-kali ada dalam kalangan kita yang sanggup menggadaikan amanah, menjualkan maruah serta mencemarkan nama baik institusi kerajaan, hanya kerana habuan dunia yang sementara,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran, Bacaan Yasin dan Tahlil Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar serta Perasmian Masjid Pulai Serai, Pekan.
Turut bercemar duli, Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut mengiringi, YAM Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Hadir sama, YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin; YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan.
Paduka baginta turut menzahirkan bahawa Kerajaan Negeri Pahang sentiasa komited dalam memperkukuhkan kedudukan Al-Quran sebagai asas pembinaan masyarakat yang beriman, berilmu dan berakhlak mulia.
“Di Negeri Pahang, Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam memperkukuhkan Al-Quran sebagai asas pembinaan masyarakat yang beriman, berilmu dan berakhlak mulia.
“Antara usaha yang giat dilaksanakan ialah dengan menggalakkan penubuhan serta pembangunan pusat-pusat tahfiz di seluruh Negeri bagi melahirkan lebih ramai generasi penghafaz Al-Quran yang bukan sahaja menguasai hafazan, bahkan memahami serta menghayati ajaran yang terkandung di dalamnya,” titah baginda.
Dalam pada itu, Paduka Baginda turut menyeru agar rakyat memuliakan dan memperkasakan bacaan Al-Quran.
“Saya ingin mengambil kesempatan disini untuk kita memuliakan dan memperkasakan bacaan Al-Quran. Saya bangga pada masjid di Negeri Pahang ini sudah pun mengamalkan membaca Al-Quran dan juga mentafsirkan Al-Quran pada kariah-kariah di masjid.
“โฆ dan saya harap setiap bangunan yang dinamakan masjid atau pun rumah Allah ini mesti mengamalkan (membaca Al-Quran). Saya minta jasa baik tok kadi mengingatkan semua masjid dan juga surau di Negeri Pahang ini supaya mengamalkan sebelum atau selepas setiap waktu sembahyang, kita adakan bacaan Al-Quran dan juga mentafsir Al-Quran sebagai SOP wajib,” titah baginda. -PAHANGMEDIA

