Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
PEKAN, 08 MAC 2026 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan memasyhurkan nama Masjid Pulau Serai kepada Masjid Tengku Hajah Aisyah Mandak.
Paduka Baginda Sultan Pahang berkenan bercemar duli ke Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran, Bacaan Yasin dan Tahlil Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar serta Perasmian Masjid Pulau Serai, malam tadi.
Keberangkatan Paduka Baginda diiringi Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut mengiringi ialah YAM Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Ketibaan Paduka Baginda pada pukul 6.20 petang disambut oleh YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin; YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan.
Pada majlis berkenaan, Paduka Baginda berkenan menandatangani plak perasmian dan pemasyhuran nama Masjid Pulau Serai sebelum mengurniakan sumbangan kepada golongan yang memerlukan.

Seterusnya Paduka Baginda berkenan berbuka puasa diiringi Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang sebelum Paduka Baginda berangkat ke Masjid Tengku Hajah Aisyah Mandak bagi menunaikan solat Maghrib.
Seusai solat Maghrib, Paduka Baginda turut berkenan membaca Surah Yasin serta bertahlil yang dipimpin oleh Mufti Negeri Pahang, Sahibus Samahah.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan tazkirah khas sempena sambutan Nuzul Al-Quran yang disampaikan oleh Mantan Al-Fadhil Qadhi Daerah Jengka, YBhg. Tuan Haji Nik Ibrahim Nik Abdullah.
Selepas itu, Paduka Baginda bersama para hadirin menunaikan solat Isyak dan diteruskan dengan solat sunat Tarawih secara berjemaah.
Majlis diakhiri dengan jamuan moreh bersama para jemaah dan tetamu yang hadir sebelum Paduka Baginda berangkat pulang. -PAHANGMEDIA

