Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
LIPIS, 09 MAC 2026 : Kerajaan Negeri Pahang terus komited memperkukuh pembangunan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai bagi memastikan kemudahan yang lebih selesa dan berkualiti kepada rakyat.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, antara perancangan terbaharu ialah pembinaan sebuah dewan komuniti baharu di Felda Sungai Koyan bernilai kira-kira RM10 juta yang mampu menampung lebih 1,000 orang pada satu-satu masa.
Katanya, pembinaan dewan tersebut penting memandangkan kemudahan sedia ada di kawasan Jelai ketika ini hanya mampu menghimpunkan sekitar 500 orang dalam satu program.
“Baru ni saya minta senarai projek daripada Dato’ DO (Pegawai Daerah)… banyak tetapi banyak juga yang masih belum dapat disiapkan.

“Walaupun ada yang belum siap , kita tambah lagi projek iaitu kita buat lagi satu dewan komuniti Jelai yang bernilai RM10 juta di Felda Sungai Koyan, di kawasan Koyan. Ini disebabkan di Jelai ni ramai kita boleh menghimpunkan 500 orang di Laman Sejahtera.
“Dewan-dewan lain tak dapat. Jadi dewan kita yang baru ini insyaAllah boleh menampung 1,000 lebih sikit orang dan dengan reka bentuknya yang cantik dan kita buat juga ‘jogging track’ lebih kurang dua kilometer kalau tak silap saya untuk membolehkan penduduk setempat,” katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Menteri Besar Pahang bersama masyarakat Kampung Keledek di Masjid Kampung Keledek, di sini semalam.
Majlis turut dihadiri Ahli Parlimen Cameron Highlands yang juga merupakan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, YB. Dato’ Ramli Mohd Nor dan barisan ketua jabatan dan pimpinan setempat.

Dalam pada itu beliau berkata, Kerajaan Negeri turut memberi perhatian terhadap isu banjir di kawasan tersebut menerusi projek tebatan banjir Sungai Jelai yang bernilai kira-kira RM16 juta.
Selain itu katanya, projek berkaitan pusat pemindahan sementara (PPS) di Sungai Ular juga telah dipersetujui dan kini dalam proses tender.
Bagaimanapun beliau mengakui terdapat beberapa projek pembangunan yang mengambil masa agak lama untuk dimulakan dan disiapkan berikutan prosedur serta syarat tertentu yang perlu dipenuhi oleh agensi berkaitan.
“Jadi saya dah bagi tahu kepada Dato’ DO (Pegawai Daerah), saya khabar mana kontraktor yang tidak dapat menyiapkan projek sebagaimana yang kita tetapkan ni kita senarai hitam sajalah. Sebabnya yang menyusahkan ialah rakyat,” katanya lagi.
Sementara itu, dalam majlis berkenaan YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy turut menyampaikan sumbangan Kerajaan Negeri kepada 31 penerima di DUN Jelai membabitkan peruntukan sebanyak RM162,100. -PAHANGMEDIA

