Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Shahrizar Azdhar
PEKAN, 07 MAC 2026 : Penyaluran Bantuan Khas Aidilfitri (BKA) dengan peruntukan RM1.28 juta kepada penggerak agama iaitu imam, bilal, siak, guru takmir, wali hakim, serta pengurus jenazah di seluruh Negeri Pahang tanda ambil berat Kerajaan Negeri kepada golongan berkenaan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, Kerajaan Negeri sentiasa mengambil berat berkenaan kebajikan para penggerak agama yang memainkan peranan penting di peringkat akar umbi di negeri ini.
“Bantuan ini merupakan satu bentuk penghargaan daripada Kerajaan Negeri terhadap jasa dan pengorbanan tuan-tuan yang sentiasa komited dalam memakmurkan masjid, memimpin masyarakat dalam urusan ibadah serta membantu masyarakat dalam pelbagai perkara berkaitan hal ehwal agama.
“Saya berharap bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban tuan-tuan khususnya dalam membuat persiapan menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.
“Saya amat berharap agar insentif yang diberikan ini dapat terus menyuntik semangat kepada tuan-tuan untuk terus berkhidmat dan berbakti kepada masyarakat,” katanya.

Tambah beliau, peranan para pemimpin agama ini amatlah penting dalam memastikan masjid terus menjadi pusat penyatuan umat serta tempat masyarakat mendapatkan bimbingan dalam kehidupan seharian di negeri ini.
“Lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan Al-Mubarak yang penuh keberkatan ini, masjid dan surau menjadi tumpuan umat Islam untuk melaksanakan pelbagai ibadah seperti solat berjemaah, tadarus Al-Quran serta majlis ilmu.
“Oleh itu, usaha tuan-tuan dalam mengimarahkan rumah-rumah Allah ini amatlah besar nilainya di sisi agama dan masyarakat,” katanya.
Beliau menyampaikan bantuan kepada 434 penerima dari daerah Pekan melibatkan peruntukan sebanyak RM103,000 pada Majlis Penyampaian Bantuan Khas Aidilfitri (BKA) Kluster Agama Kepada Imam, Bilal, Siak, Guru Takmir, Wali Hakim, dan Badan Khairat Kematian daerah Pekan di Sekolah Menengah Agama Tengku Ampuan Fatimah (SMATAF) hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib dan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang, YH. Dato’ Haji Ahmad Khirrizal Ab Rahman. -PAHANGMEDIA

