Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 26 FEBRUARI 2026 : Seramai 44 orang anak yatim bersama 10 orang penjaga dari tiga pusat kebajikan anak yatim telah menerima sumbangan daripada Kuantan 188 sempena Majlis Berbuka Puasa dan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).
Menurut Pengurus Besar Kuantan 188, Puan Khalisa Azman, program berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama rakan strategik termasuk RHB Bank dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah.
“Setiap kali tiba bulan Ramadan, Kuantan 188 akan menganjurkan program CSR sebagai usaha berterusan untuk menyantuni komuniti setempat, khususnya anak-anak yatim dan golongan yang memerlukan.
“Setiap tahun juga terdapat badan-badan korporat yang memilih untuk melaksanakan program CSR Ramadan mereka di Kuantan 188 dan kami amat mengalu-alukan kerjasama tersebut. Namun begitu, tempat adalah terhad dan pihak yang berminat disarankan untuk membuat tempahan lebih awal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Berbuka Puasa dan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) “Simfoni Rasa di Awangan” di Menara Kuantan 188.
Turut hadir sebagai tetamu jemputan dan rakan strategik ialah RHB Bank dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Dalam pada itu, beliau menyatakan program seumpama ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada anak-anak yatim, malah bertujuan meraikan mereka dalam suasana yang istimewa dan penuh kasih sayang.
“Program seperti ini memberi pendedahan kepada anak-anak yatim selain meraikan mereka dalam suasana yang istimewa dan penuh kasih sayang. Kami turut menampilkan badut untuk menghiburkan mereka serta menyediakan pelbagai aktiviti menarik seperti zipline dan lain-lain.
“Program ini bukan sekadar jamuan berbuka puasa, tetapi turut disertakan dengan aktiviti interaktif dan pengalaman unik yang menjadi kelainan di Menara Kuantan 188. Harapan kami, kenangan kecil ini mampu membawa senyuman dan kebahagiaan buat mereka,” katanya. -PAHANGMEDIA

