Oleh: Nur Saadah Artika
Foto: Shahrizar Azdhar
PEKAN, 13 FEBRUARI 2026 : Seramai lapan penerima di Dewan Negeri (DN) Pulau Manis menerima kunci Rumah Rakyat Pahang (RRP) Fasa 5 dalam satu majlis penyerahan yang berlangsung hari ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, program tersebut membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara.

“Inilah merupakan inisiatif kerajaan yang sangat baik untuk memastikan tidak ada penduduk-penduduk yang ketinggalan untuk memiliki rumah ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Beliau berkata, bagi tahun ini, kerajaan negeri telah meluluskan hampir RM29 juta untuk membina rumah percuma kepada rakyat yang memerlukan di seluruh negeri di mana setiap Dewan Negeri diperuntukkan lapan unit rumah, tertakluk kepada tapisan dan kelayakan oleh pejabat daerah.
“Kerajaan negeri telah meluluskan hampir RM29 juta untuk tahun ini bagi membina rumah secara percuma kepada rakyat yang sangat memerlukan. Bukan untuk DUN ini sahaja, tetapi setiap DUN menerima lapan buah rumah dan akan dibina secara percuma melalui tapisan pejabat daerah serta mengikut kelayakan yang ditetapkan,” katanya.
Dalam majlis sama, bantuan dan sumbangan hampir RM100,000 turut diserahkan melibatkan pelbagai keperluan seperti komputer riba, bantuan persekolahan, tadika serta baik pulih rumah.

Beliau berkata, kejayaan melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan itu hasil daripada pengurusan dan tadbir urus kerajaan negeri yang cekap, termasuk peningkatan kutipan hasil negeri selama empat tahun berturut-turut.
“Bantuan yang kita serahkan hari ini adalah hasil daripada kutipan dan pengurusan hasil negeri yang baik. Empat tahun berturut-turut kerajaan negeri mencatat kutipan hasil yang memberangsangkan dan sebahagiannya kita kongsikan semula kepada rakyat dalam bentuk sumbangan serta bantuan yang benar-benar diperlukan,” katanya.
Tambahnya, kemasukan pelaburan berjumlah RM70 bilion dijangka mewujudkan kira-kira 10,000 peluang pekerjaan di Negeri Pahang, sekali gus merancakkan ekonomi dan meningkatkan hasil negeri untuk dikembalikan semula kepada rakyat.
Program RRP merupakan antara inisiatif utama kerajaan negeri dalam memastikan tiada rakyat yang tercicir daripada memiliki kediaman sendiri, khususnya golongan berpendapatan rendah dan memerlukan. -PAHANGMEDIA

