Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 13 FEBRUARI 2026 : Kerajaan Negeri Pahang terus komited dalam memastikan wanita Negeri ini tidak tercicir daripada arus pembangunan menerusi Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Pahang 2022-2026.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan, Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Pahang 2022 – 2026 dirangka secara inklusif dan menyeluruh untuk memperkasa wanita di negeri ini.

“Dasar ini dirangka secara inklusif dan menyeluruh, merangkumi pemerkasaan ekonomi dan keusahawanan wanita, penjagaan kesihatan fizikal, mental serta kesejahteraan sosial, pendidikan, peningkatan kemahiran dan adaptasi teknologi dan perlindungan sosial dan kebajikan wanita, khususnya golongan rentan.
“Melalui dasar ini, Kerajaan Negeri komited memastikan wanita Pahang tidak tercicir daripada arus pembangunan, malah diberi peluang yang adil dan saksama untuk berkembang dan menyumbang secara optimum,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Program Konvensyen Wanita Pahang Tahun 2026, selaku wakil rasmi YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail di Zenith Hotel hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Pahang, YBhg. Datin Sri Noorhayati Ismail.
Tambahnya, Unit Pembangunan Wanita dan Sosial Pahang (UPWS) berfungsi sebagai penghubung antara Kerajaan Negeri, agensi pelaksana dan komuniti wanita di peringkat akar umbi.
“Pendekatan yang diambil adalah berasaskan keperluan sebenar wanita serta memberi impak langsung kepada kesejahteraan rakyat. Antara program yang dilaksanakan termasuk Kaunter Aduanita, Permata Makmur, Anggun Suri serta Anggun Maju.
“Program-program ini membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memastikan kebajikan serta pembangunan wanita sentiasa diberi perhatian,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyeru agar wanita Pahang ini terus bersatu, saling memperkasa serta berganding bahu untuk membangunkan sebagai rakam strategik dalam membangunkan negeri ini.
“Jadilah agen perubahan yang membawa kesejahteraan kepada keluarga, keharmonian kepada masyarakat dan kemakmuran kepada negeri.
“Wanita yang berilmu akan melahirkan generasi yang cemerlang. Wanita yang berdaya saing akan mengangkat martabat negeri ke tahap yang lebih tinggi,” katanya. -PAHANGMEDIA

