Oleh: Nur Saadah Artika
Foto: Shahrizar Azdhar
PEKAN, 14 FEBRUARI 2026 : “Sebelum ni menumpang rumah mak, berhimpit lah, bila dapat rumah ni, rasa sangat-sangat bersyukur.”
Demikian luahan penuh sebak Puan Nurul Afzan Ruzlan, 34, ibu tunggal kepada enam anak yang kini mampu menarik nafas lega selepas menerima bantuan rumah baharu, sekali gus membuka lembaran hidup yang lebih selesa buat keluarganya.
Beliau mengimbau detik sukar selepas kehilangan suami tercinta akibat kanser hati pada Mei tahun lalu, menyebabkan mereka sekeluarga terpaksa menumpang di rumah ibunya dalam keadaan serba kekurangan dan berhimpit.

“Saya nak anak-anak ada tempat yang selesa. Rumah ni meringankan beban saya. Terima kasih kepada Menteri Besar Pahang. Saya tak sangka permohonan saya lulus,” katanya lagi, bersyukur dengan rezeki yang memberi sinar baharu dalam kehidupan mereka sekeluarga.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunci Rumah Rakyat Pahang (RRP) daripada Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff.
Puan Nurul Afzan, yang kini hanya mengambil kerja sambilan di kedai makan kerana perlu menjaga anak-anaknya sendiri, berkata, bantuan ini memberi peluang untuk anak-anaknya hidup lebih selesa dan aman.

Dalam majlis yang sama, seorang penerima cek bantuan bagi membaik pulih kedai warung yang rosak akibat angin ribut, Puan Faridah Yusuf, 53, menzahirkan rasa terharu kerana bantuan ini memberi nafas baharu kepada perniagaannya.
“Saya sangat terharu. Bantuan ini sangat membantu untuk baik pulih kedai saya. Saya ingin mengucapkan ucapan terima kasih banyak kepada Menteri Besar Pahang, tok empat, ketua kampung dan Dato’ Haji Fakhruddin, terima kasih banyak-banyak,” tambahnya – PAHANGMEDIA

