Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 27 JANUARI 2026 : Penjawat awam di negeri ini dituntut untuk lebih tangkas, cekap dan berani dalam membuat keputusan, namun tidak menjejaskan integriti dan tatakelola mereka.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, tahun 2026 merupakan tahun untuk bekerja dengan cara baharu dalam menghadapi cabaran.
“Tahun 2026 menuntut penjawat awam yang lebih tangkas, lebih cekap dan lebih berani membuat keputusan, tanpa menjejaskan integriti dan tatakelola.
“Hala tuju Kerajaan Negeri Pahang bagi tahun 2026 adalah jelas dan konsisten. Kita mahu sebuah pentadbiran negeri yang pantas dalam penyampaian perkhidmatan, cekap dalam pelaksanaan dasar, telus dalam tadbir urus, dan benar-benar berfokus kepada kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Pahang Bersama-sama YAB Menteri Besar Pahang di Dewan Kompleks Bandaraya Kuantan.
Beliau berkata tahun ini juga merupakan tahun memperkukuh budaya kerja berprestasi tinggi yang menolak sikap sambil lewa, budaya menutup ruang kepada ketirisan, dan budaya meraikan kecemerlangan serta inovasi dalam perkhidmatan awam negeri.
“Saya mahu setiap penjawat awam memahami bahawa kita bukan sekadar melaksanakan arahan, tetapi menjayakan amanah.
“Setiap fail yang diproses, setiap keputusan yang dibuat, setiap kelulusan yang ditandatangani, semuanya memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat.

“Saya mahu penjawat awam Pahang menjadi ejen perubahan yang berani mencadangkan penambah baikan, berani mempercepatkan proses tanpa menyalahi peraturan, dan berani turun padang untuk memahami denyut nadi rakyat,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Pahang juga tidak akan sesekali berkompromi terhadap salah guna kuasa, kecuaian, dan kelemahan integriti.
“Dalam pada itu Kerajaan Negeri juga akan terus memberi perhatian terhadap pembangunan modal insan, kerjaya, latihan dan juga kemahiran, kerana kita mahu penjawat awam yang bukan sahaja setia, tetapi juga berkualiti dan kompeten.
“Namun saya ingin tegaskan tiada kompromi terhadap salah guna kuasa, kecuaian dan kelemahan integriti,” katanya. -PAHANGMEDIA

