Oleh : Norhafizan Zulkifli
BENTONG, 12 JANUARI 2026 : Kit persekolahan percuma pemberian Kerajaan Negeri menerusi Program Tunas Makmur di bawah Inisiatif Makmur Pahang (IM Pahang) bukan sahaja lengkap, malah juga berkualiti.
Penerima bantuan berkenaan, V. Nivashan, 10, menzahirkan rasa gembira dan teruja atas penerimaan bantun kit persekolahan terbabit.

“Seronok dapat barang-barang yang cantik dan elok. Dapat beg, pensel, lepas itu botol. Saya akan belajar rajin. Terima kasih Tok Wan kerana bagi barang yang elok. Pahang 1st,” kata pelajar Tahun 4 berkenaan.
Nishavan merupakan antara 130 pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Bentong yang menerima bantuan kit persekolahan berkenaan yang disampaikan oleh YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, di sini hari ini.
Ibu kepada pelajar Tahun 1 sekolah terbabit, Puan V. Vijayasamundiswari, 39, pula berkata, bantuan berkenaan amat membantu keluarganya memandangkan kos penyediaan kelengkapan persekolahan anak-anak semakin meningkat.

“Memang membantulah sebab kos untuk beli barang-barang anak sekolah memang banyak. Jadi, dapat bantuan ini, dapat kurangkan beban kita.
“Memang saya berasa terima kasih sangat-sangat kepada kerajaan yang membantu saya dengan anak saya, dengan famili. Juga, berterima kasih kepada Menteri Besar Pahang yang telah menolong saya dan juga, murid-murid dekat sekolah sini dan juga dekat semua negeri Pahang,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SJKT Bentong, Encik Yuvaneswaran Sathiamurthy, 45, berkata, bantuan berterusan kerajaan negeri telah memberi kesan positif kepada komuniti sekolah serta meningkatkan keyakinan ibu bapa terhadap sistem pendidikan di Pahang.

“Kita ucap betul-betul terima kasihlah dengan sokongan MB (YAB. Menteri Besar) kita ini untuk semua pelajar ni dengan ibu bapa yang susah, yang miskin kan.
“Sumbangan ini bukan sekali, dia memang banyak sumbangan dah diberikan kepada semua sekolah-sekolah ini. Jadi kita harap tahun depan dia buat lagi lebih baik lagilah.
“Secara menyeluruh sejak anak saya dua-dua belajar dekat sini, saya dapat banyak sumbangan daripada Pahanglah. Jadi saya boleh rasa saya banggalah jadi anak orang Pahang,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

