KUANTAN, 31 DISEMBER 2025 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj menzahirkan ucapan selamat menyambut Tahun Baharu 2026 kepada seluruh rakyat Negeri Pahang Darul Makmur khususnya, serta rakyat Malaysia amnya.
Sempena kehadiran tahun baharu ini, Paduka Baginda berdua berdoa agar seluruh rakyat sentiasa dikurniakan kesejahteraan, kesihatan yang baik, keselamatan berpanjangan serta kehidupan yang harmoni dan sejahtera.
“Mudah-mudahan tahun 2026 membawa sinar harapan baharu, memperkukuh kekuatan semangat serta menjanjikan kejayaan dalam setiap cabaran kehidupan yang dilalui,” titah Paduka Baginda berdua menerusi hantaran di Facebook Kesultanan Pahang.
Paduka Baginda berdua turut menzahirkan harapan agar rakyat terus bersatu padu, saling menghormati dan mengamalkan nilai-nilai murni demi memelihara keharmonian masyarakat serta menjamin kemakmuran negeri dan negara tercinta.
“Jadikanlah kehadiran tahun baharu ini sebagai titik tolak untuk memperteguh azam, meningkatkan usaha serta memperbaiki diri ke arah masa depan yang lebih gemilang,’ titah Paduka Baginda berdua.
Bersempena dengan kedatangan tahun baharu ini juga, Paduka Baginda berdua mengajak seluruh rakyat agar bersama-sama berdoa supaya Negeri Pahang dan negara Malaysia sentiasa dijauhi daripada segala bentuk tragedi serta bala bencana seperti taufan, banjir dan gempa bumi.
“Akhir kata, semoga Allah SWT sentiasa melimpahkan rahmat dan keberkatan-Nya kepada Negeri Pahang Darul Makmur dan negara Malaysia keseluruhannya. Selamat Menyambut Tahun Baharu 2026.” – ” titah Paduka Baginda berdua.-PAHANGMEDIA

