Oleh : Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 28 DISEMBER 2025 : Kerajaan Negeri Pahang melahirkan kekesalan terhadap kegagalan syarikat telekomunikasi (telco) untuk mengambil tindakan segera bagi memulihkan gangguan perkhidmatan komunikasi di Kampung Salang, Pulau Tioman yang dilaporkan terjejas sejak 17 Disember lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, perkara itu bukan sahaja menimbulkan kesulitan kepada penduduk setempat, malah membangkitkan kebimbangan serius terutama dalam situasi cuaca tidak menentu ketika ini.
Katanya, sikap pihak telco dilihat tidak serius menangani isu gangguan berkenaan walaupun telah menjanjikan komitmen untuk menyelesaikan sebarang masalah perkhidmatan komunikasi negeri ini dengan kadar segera sebelum ini.
“Berhubung perkara ini, saya turut menerima aduan daripada pemimpin setempat yang menyatakan kekecewaan, kerana sehingga kini pihak syarikat telekomunikasi (Telco) masih gagal mengambil tindakan sewajarnya untuk memulihkan semula perkhidmatan selular di Kampung Salang, Pulau Tioman.
“Apa yang lebih membimbangkan, cuaca yang tidak menentu pada masa kini yang sedang melanda beberapa daerah di Pahang termasuk di Rompin, berpotensi memburukkan lagi keadaan, apatah lagi baru-baru ini beberapa lokasi di Pulau Tioman turut dilanda banjir.
“Saya berasa kesal kerana pihak Telco tidak mengambil tindakan pemulihan dan pembaikan dengan kadar segera sebaik sahaja berlakunya gangguan perkhidmatan selular ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan kepada media bagi megulas laporan akhbar Kosmo! bertajuk “Kampung Salang Pulau Tioman Terputus Hubungan Dengan Dunia Luar” disiarkan 17 Disember lalu.
Beliau justeru itu menggesa YB Menteri Komunikasi serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk mengambil tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas terhadap syarikat telco terlibat berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.
“Tindakan ini penting bagi memastikan semua syarikat Telco bertindak secara lebih bertanggungjawab dan serius dalam menangani isu gangguan perkhidmatan telekomunikasi, termasuk di Pulau Tioman, serta menyelesaikan segera segala permasalahan yang turut dihadapi oleh rakyat di kawasan luar bandar dan pedalaman di seluruh Pahang,” katanya lagi.
Menurut beliau, kepentingan dan kebajikan rakyat tidak wajar dipandang ringan, apatah lagi apabila melibatkan akses kepada komunikasi asas yang menjadi keperluan utama dalam aspek keselamatan, ekonomi dan kesejahteraan masyarakat. -PAHANGMEDIA

