Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
LIPIS, 27 DISEMBER 2025 : Kerajaan Negeri Pahang sentiasa memastikan kedudukan Islam diletakkan di tempat tertinggi di bumi Pahang melalui pelbagai inisiatif yang diberikan.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, Kerajaan Negeri juga berharap fahaman songsang dapat ditolak daripada bertapak di negeri ini bagi memastikan kemaslahatan rakyat.
“Kita semua sedia memaklum bahawa daulah Islam telah bertapak di bumi Pahang ini semenjak 555 tahun yang lalu. Jadi, kita harus mempergiat, meningkatkan lagi supaya daulah Islam dapat kita letakkan di tempat yang paling tinggi dan di bumi Pahang.

“Kita semua sedia maklum bahawa kita berpegang kepada fahaman ahli sunnah wal jamaah yang berlandaskan al-Quran dan sunnah. Jadi, oleh itu, saya menyeru kepada semua dan saya harap pengerusi-pengerusi masjid dapat memainkan peranan supaya menolak ajaran sonsang, fahaman ekstrim, dan unsur-unsur yang boleh memecahbelahkan ummah,” katanya.
Beliau berkata sumbangan RM10,000 kepada masjid dan surau yang boleh menunaikan solat Jumaat di negeri ini bagi memastikan pihak masjid dapat menjalankan aktiviti bagi mengimarahkan masjid.
“Kita bagi sumbangan kepada masjid dan juga kepada surau-surau yang boleh melakukan solat Jumaat. Saya beritahu tadi bahawa ini adalah sumbangan daripada Kerajaan Negeri. Kita mempunyai kedudukan kewangan yang agak stabil dan seperti mana yang dijanjikan, kita kembalikan kepada rakyat dan kepada mana-mana pihak dalam bentuk cash supaya mereka boleh menjalankan aktiviti di masjid.

“Contohnya, hari ini kita bagi RM10,000 dan saya berharap pengerusi JKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan) masjid dapat gunakan sebaik-baiknya.
“Jadi, di Pahang ni kita ada 697 masjid dan juga surau yang boleh menunaikan solat Jumaat. Kita bagi peruntukan yang banyak. Sangat banyak. Juta-juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Inisiatif Makmur Pahang (I.M Pahang) kepada Kluster Agama, khususnya masjid dan Surau Kebenaran Jumaat bagi Zon Pahang Barat di Dewan Terbuka Laman Sejahtera Jelai, Sungai Koyan hari ini. -PAHANGMEDIA

