Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 27 DISEMBER 2025 : Kerajaan Negeri Pahang membuktikan komitmen berterusan dalam menyokong rakyat Palestin dengan menggerakkan inisiatif kemanusiaan melalui penganjuran Pahang4Palestine Fun Run 2025 hari ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal, setiap peserta yang mengambil bahagian dalam penganjuran larian tersebut menyumbang sekurang-kurangnya RM5 kepada Tabung Pahang4Palestine.

“Sekarang kita kembali menggerakkan semula Tabung Pahang4Palestine melalui larian hari ini, peserta juga menyumbang sekurang-kurangnya RM5 seorang untuk tabung ini.
“Sebelum ini, Kerajaan Negeri melalui Sekretariat Pahang4Palestine telah menyalurkan bantuan kemanusiaan terus ke Gaza melalui laut hasil kerjasama dengan Ops Ihsan dibawah Kementerian Luar Negara.
“Melalui bantuan RM1.8 juta pada tahun 2024, kita menyalurkan bantuan makanan dalam bentuk retort, ubat-ubatan dan selimut kepada rakyat Palestin di Gaza,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Pahang4Palestine Fun Run 2025, selaku wakil rasmi YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail di Padang Majlis Bandaraya Kuantan 1 (MBK 1).
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan.

Tambahnya, gerakan solidariti ini akan diteruskan bagi menyemarakkan rasa kasih, simpati dan ingatan rakyat Pahang terhadap rakyat Palestin.
“InsyaAllah ia (gerakan solidariti) akan terus dilaksanakan termasuk acara-acara larian seperti ini untuk menyemarakkan rasa cinta, sayang, kasih, simpati serta ingatan kita kepada rakyat Palestin.
“Beberapa bulan lalu, kita telah menganjurkan himpunan Pahang4Palestine di Raub dan bulan lalu di Kuala Krau,” katanya. -PAHANGMEDIA

