KUANTAN, 24 DISEMBER 2025 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan berangkat meninjau operasi Projek Ladang Lembu Tenusu di Gambang, di sini semalam.

Keberangkatan tiba Paduka Baginda kira-kira jam 3 petang disambut oleh pegawai serta kakitangan syarikat Touch Milk Dairy Farm yang mengusahakan projek berkenaan.

Paduka Baginda kemudiannya berkenan menerima taklimat daripada Pengarah Urusan Kumpulan Touch Milk Dairy Farm, Raja Dato’ Idris Raja Halid, mengenai operasi ladang yang meliputi kawasan seluas 242 hektar.
Baginda turut berkenan memandu sendiri bagi meninjau kawasan penternakan lembu serta ladang rumput Napier yang menjadi sumber utama makanan ternakan.

Projek Ladang Lembu Tenusu ini merupakan antara projek pembangunan tanah di Pahang yang memfokuskan kepada penternakan lembu secara moden dengan penggunaan teknologi terkini bagi menghasilkan produk tenusu berkualiti tinggi.-PAHANGMEDIA

