Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 16 DISEMBER 2025 : Perkhidmatan BAS.MY Kuantan menyediakan pas bulanan perjalanan tanpa had Kad 30 Hari Bas.My dengan bayaran sebanyak RM30 untuk tempoh sepanjang 30 hari.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim berkata, orang ramai juga boleh membuat pembayaran secara tunai, pembayaran tanpa sentuh (PayWave) dan pembayaran QR.

“Kad 30 Hari BAS.MY ini bayaran dia RM30 untuk 30 hari. Jadi, ia ibarat RM1 sahaja dan dia boleh naik semua laluan. Kad ini merupakan pas perjalanan tanpa had,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelepasan Operasi (Flag Off) Perkhidmatan BAS.MY Kuantan di Hentian Bas Bandar Kuantan, Jalan Stadium, Stadium Darul Makmur, hari ini.
Tambahnya, satu inisiatif tambahan bagi pengguna perkhidmatan BAS.MY ialah Kad Konsesi BAS.MY Kuantan yang merupakan kad tambang khas bagi golongan layak.

“Kita ada Kad Konsesi BAS.MY untuk warga Kuantan yang layak sahaja iaitu Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas 60 tahun ke atas, pelajar sekolah yang berumur tujuh tahun hingga 17 tahun dan termasuk juga pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT). Untuk Kad Konsesi BAS.MY, dia kena bayar RM10 sekali sahaja,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan bahawa orang ramai digalakkan untuk memanfaatkan perkhidmatan bas awam yang disediakan.
“Untuk berkemsempatan ini, saya menggalakkan supaya orang ramai menggunakan perkhidmatan bas awam ini. Sekiranya ada permintaan dan demand yang tinggi, Kerajaan Negeri boleh mohon dengan pihak Kementerian Pengangkitan Malaysia untuk mempertimbangkan di daerah-daerah lain,” katanya. – PAHANGMEDIA

