Oleh : Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 16 DISEMBER 2025 : Hujan lebat sejak beberapa hari lalu di daerah ini menyebabkan Sungai Belat di Sri Damai, di sini merekodkan bacaan paras air melebihi paras bahaya setakat pukul 10.45 pagi tadi.
Berdasarkan maklumat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui portal Public InfoBanjir, stesen aras air di Sg. Belat di Sri Damai (F2) merekodkan bacaan 5.57 meter (m), melepasi tahap bahaya, 4.80m.
Selain itu, enam sungai di negeri ini kini mencatatkan paras amaran iaitu Sungai Kenau di Sungai Rimau dan Sungai Soi di Jalan Pekan–Kuantan; Sungai Tanum di Jambatan Chegar Perah, Lipis; Sungai Tembeling di Kampung Merting serta Sungai Pahang di Kuala Tembeling, Jerantut dan Sungai Telemong di Bentong.
Dalam pada itu, lima sungai dikenal pasti berada pada paras waspada iaitu Sungai Kuantan di Pasir Kemudi dan Sungai Lepar di Jambatan Gelugor, Kuantan; Sungai Tembeling di Kuala Tahan, Jerantut; Sungai Ringlet di Pekan Ringlet, Cameron Highlands serta Sungai Kuantan di Bukit Kenau, Kuantan.
Orang ramai terutama penduduk di kawasan berhampiran sungai dinasihatkan supaya berwaspada dan sentiasa memantau perkembangan semasa cuaca serta paras air dari semasa ke semasa. -PAHANGMEDIA

