Oleh : Norhafizan Zulkifli
RAUB, 15 DISEMBER 2025 : Kerajaan Pahang bercadang untuk menjenamakan semula Program Transformasi Desa Pahang (TERAS) kepada Program Kampung Angkat Berpotensi Negeri.
Program TERAS yang dilaksanakan sebelum ini melibatkan anak-anak syarikat berkaitan Kerajaan Negeri (GLC) yang menyumbang secara langsung kepada pembangunan kampung-kampung terpilih, khususnya kampung yang mempunyai potensi ekonomi dalam bidang pertanian, perikanan sungai dan pelancongan desa.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penjenamaan semula program TERAS itu merupakan idea awalan yang mendapat cetusan ilham dari kejayaan Program Kampung Angkat MADANI (KAM) di mana ia masih dalam peringkat perancangan.
“Sebab saya dapati kampung kita di Pahang ni ada potensi. Ada yang kampung tepi sungai, ada kampung yang pokok buah-buahannya banyak dan sebagainya.

“Dan kalau kiranya kita memberi perhatian, memberi tunjuk ajar, ‘educate’ contohnya macam mana nak pasarkan buah-buah buah-buahan tempatan, bagaimana nak pasarkan ikan-ikan yang dapat daripada sungai, ini boleh menguntungkan mereka.
“Jadi saya minta anak syarikat masuk, kita gunakan TERAS dan hari ini saya mendapat ilham, kita nak jenamakan semula kepada Kampung Angkat Berpotensi di Negeri Pahang,” katanya selepas merasmikan Majlis Peluncuran KAM Malaysia Defence Intelligence Organisation (MDIO) Tahun 2025 bertempat di Kampung Jeram Besu, di sini, hari ini.
Majlis turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak; Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Leftenan Dato’ Mohd Razali Alias; dan barisan pimpinan setempat.
Sementara itu, MDIO memaklumkan projek naik taraf infrastruktur komuniti di Kampung Jeram Besu telah berjaya disiapkan dengan peruntukan keseluruhan RM1 juta selaras dengan mandat Program KAM Tahun 2025.

Peruntukan tersebut disalurkan oleh Kementerian Kewangan dan memberi tumpuan kepada dua institusi teras kampung iaitu masjid sebagai pusat pembentukan rohani dan Tadika KEMAS sebagai asas pendidikan awal kanak-kanak.
Kerajaan Negeri turut memantau pelaksanaan projek berkenaan melalui kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Raub bagi memastikan projek disiapkan mengikut jadual serta memberi manfaat sebenar kepada rakyat.
YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy turut merakamkan penghargaan kepada YAB. Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan atas peruntukan bagi pelaksanaan projek berkenaan yang disalurkan menerusi Kementerian Kewangan kepada MDIO selaku agensi angkat kampung berkenaan.
“Dan saya dah melihat keadaan sebelum dan selepas bila mendapat peruntukan ini memberi keselesaan.
“Kalau Tabika memberi keselesaan kepada anak-anak kita yang belajar, kalau masjid memberi keselesaan kepada masyarakat setempat, jemaah masjid mendapat masjid yang lebih selesa berbanding dengan sebelum ini,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

