Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Shahrizar Azdhar
LIPIS, 14 DISEMBER 2025 : Projek baik pulih Jalan Pos Sinderut sejauh 34 kilometer (km) yang mengalami kerosakan dijangka akan dilaksanakan pada tahun hadapan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, buat masa kini projek bernilai RM320 juta berkenaan berada dalam proses perolehan.
“Saya dah tanya pihak JKR (Jabatan Kerja Raya), dan tanya KKDW (Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah) sekarang ini projek ini dalam urusan penyediaan perolehan, maknanya proses pembinaan itu sudah hampir. Selepas perolehan ini sudah tentu kita akan buat penawaran tawaran kerja dan setelah itu kita boleh mula kerja insyaAllah.

“Kita berharap seawal mungkin (proses baik pulih jalan dijalankan) tapi proses perolehan ini dia juga perlu kepada perhatian teknikal dan dia juga perlu kepada masa. Jadi saya yakin benda ini dapat dilaksanakan sebaik mungkin, sebab saya dah cakap dengan JD (Jurutera Daerah) tadi, dengan pihak JKR dengan pihak Dato DO (Pegawai Daerah Lipis), dan KKDW harap dapat benda ini dilaksanakan secepat mungkin.
“Sebab keadaan memerlukan. Kita harap jangan lebih daripada setahun, kiranya tak lebih daripada 2026,” katanya ketika ditemui di Kampung Ulu Tual semasa Lawatan Tapak di Jalan Pos Sinderut hari ini.
Turut hadir, Pegawai Daerah Lipis, Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim, Ketua Pegawai Eksekutif Pahang Orang Asli Corporation (ORACO), YH. Dato’ Muhammad Olian Abdullah; dan Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Pahang, Encik Adam Zaidi Mahidin.
Beliau berkata proses penyelenggaraan di kawasan berkenaan sedikit sukar disebabkan oleh bentuk muka bumi namun proses baik pulih kali ini akan dilakukan secara lebih agresif oleh Kerajaan Negeri.

“Jadi sebenarnya jalan ini dah pernah dibina dan pernah dah tiga, empat kali diperbaiki. Tapi maklumlah sebab jalan ini sebenarnya duduk di persisiran banjaran Titiwangsa. Sudah tentulah untuk penyelenggaraan itu agak sukar sebab dia tinggi dan berair serta jauh ke dalam.
“Tapi pada 2022 saya telah nyatakan situasi ini kepada YAB Timbalan Perdana Menteri. Kemudian itu YAB Menteri Besar pula di dalam beberapa siri pertemuan dengan pihak Kementerian dan juga pihak Persekutuan menyebutkan situasi jalan ini.
“Sebab itulah beberapa kali telah diusahakan untuk baik boleh. Cuma kali ini kita buat secara lebih agresif kerana ada beberapa lokasi telah kita kenal pasti yang bahawasanya di situ sering berlaku kerosakan yang kritikal dan juga kita dah tahu punca-punca yang wajar kita fokus untuk membuatkan tindakan yang sebaiknya,” katanya.

Beliau turut melahirkan keyakinan melalui peruntukan yang disalurkan oleh pihak KKDW, projek naik taraf laluan ini dapat memberi manfaat kepada penduduk setempat.
“Sehubungan dengan itu Kementerian Kemajuan Desa dan Luar Bandar di bawah YAB Timbalan Perdana Menteri dengan saranan dan permohonan YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail yang kebetulan ADUN Jelai, kawasan ini pun di bawah Jelai, telah mendapatkan peruntukan sebagaimana kertas yang dibentangkan kepada saya oleh pihak JKR dan KKDW sebentar tadi sebanyak RM320 juta.
“Saya yakin dengan peruntukan yang besar ini akan dapat membantu penduduk setempat dengan baik bagi mengatasi situasi jalan ini.
“Tadi saya dah lalu sendiri bersama dengan JKR, bersama dengan KKDW dan kebetulan bersama dengan saya Dato DO pun ada menengok situasi jalan yang memang sewajarnya dibaik pulih. Ada curam yang sangat tinggi, ada tempat yang diterjah oleh air, ada lokasi yang sangat dalam, jalan itu dimakan sehingga jadi macam longkang, jadi insyaAllah dengan RM320 juta diperuntukkan oleh KKDW ini dapat kita membantu,” katanya. -PAHANGMEDIA

