Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
PEKAN, 14 DISEMBER 2025 : Program Anggun Suri (Perkahwinan Beramai-ramai) Tahun 2025 di bawah Inisiatif Makmur Pahang (IM Pahang) terbukti membantu meringankan kos perbelanjaan perkahwinan pasangan pengantin, sekali gus menjadi solusi praktikal dalam mendepani tekanan ekonomi semasa.
Bagi pasangan Muhammad Ikmal Derahman, 23, dan Noratashya Shakila Abdullah, 23, penyertaan dalam program tersebut memberi kelegaan besar dari segi kewangan, selain membolehkan mereka melangsungkan perkahwinan dengan meriah dan penuh bermakna.
“Dapat menjimatkan kos. Hidup kita orang zaman sekarang ini kan ekonomi tinggi. Jadi dengan adanya majlis Anggun Suri ini meringankan beban pengantinlah. Alhamdulillah keluarga setuju.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana sponsor majlis Anggun Suri ini kepada pengantin-pengantin di Pahang dan di Pekan. Terima kasih Tok Wan,” kata pasangan itu lagi.
Bagi Mohd Ramdan Mohd Nor, 40, dan pasangannya Norhamidah Zainuddin, 40, mengakui program Anggun Suri membuka peluang kepada pasangan untuk berkahwin tanpa perlu menanggung kos majlis yang tinggi.
“Dapat tahu (tentang Anggun Suri) daripada rakan-rakan jugalah. Memang berniat nak ‘join’lah.
“Terima kasih kepada Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy kerana menganjurkan anjuran Anggur Suri inilah kerana dapat menjimatkan (perbelanjaan) kami. Terima kasih banyak-banyak,” katanya.

Dalam pada itu, seramai 10 pasangan pengantin diraikan dalam Program Anggun Suri Peringkat Daerah Pekan yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib, selaku wakil rasmi YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Sabariah Saidan serta barisan pimpinan setempat.
Menurut Dato’ Mohamad Nizar, penganjuran Anggun Suri membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkukuh institusi kekeluargaan, selain memberi peluang kepada pasangan merasai pengalaman perkahwinan secara kolektif dalam suasana penuh tertib dan bermakna.
“Komitmen ini membuktikan bahawa program Anggun Suri bukan sahaja bersifat bermusim, sebaliknya merupakan inisiatif kebajikan sosial yang berterusan dirancang untuk memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat khususnya golongan B40.
“Pendekatan ini selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk membina keluarga harmoni sebagai asas kepada masyarakat sejahtera seterusnya memperkukuh kemakmuran negeri di bawah aspirasi Pahang 1st,” katanya. -PAHANGMEDIA

