Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Shahrizar Azdhar
LIPIS, 13 DISEMBER 2025 : Dua adik-beradik antara sepuluh pasangan mempelai yang diraikan pada Program Anggun Suri Peringkat Daerah Lipis 2025.
Pasangan adik-beradik berkenaan, Puan Nurain Adila Abdul Halim, 18, dan Puan Nurain Alina Lokman Hakim, 16 dari Kampung Telemin, Padang Tengku berkata program ini sangat membantu mereka untuk mendirikan rumahtangga.
Puan Nurain Adila berkata dia tidak menyangka akan berkongsi majlis bersama adiknya namun melahirkan rasa gembira kerana dapat menjimatkan kos bagi mengadakan majlis bagi dua pasangan.

“Tak perlu banyak kos sebab sekali (majlis). Bila kata sekalikan majlis ni family okey, family kata lebih mudah, semua sekali keluarga balik. Happy sangat sebab dapat memudahkan urusan nak berkahwin.
“Semua senang (urusan). Program ini sangat membantu, kami just bayar RM500 boleh dapat semua benda. Kos selebihnya tu boleh guna untuk rumah tangga. Kami sangat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang,” katanya bersama pasangannya Encik Muhammad Arif Farhan Zakaria, 25, dari Kampung Berchang.
Bagi adiknya Puan Nurain Alina dan pasangan, Encik Tuan Mohamad Haikal Tuan Kechik, 17, berkata mereka mengetahui program ini daripada ibu Nurain Alina selepas melihat iklan di media sosial.

“Dapat tahu daripada mak saya. Mak pun tengok iklan. Rasa teruja sebab dapat dipermudahkan lagi urusan kami yang tak berapa nak mampu. Jimat kos lah.
“Terima kasih kepada Tok Wan (YAB. Menteri Besar Pahang) memberi kami sumbangan baucar duit dan terima kasih kepada semua yang datang,” kata pasangan ini.
Sementara itu, menurut pasangan Puan Nurul Fatiha Mohamad, 23, dari Kampung Mela dan Encik Muhammad Nurfirdaus Nazarudin, 26, dari Jengka 13, program ini dapat mengurangkan beban kewangan mereka yang ingin membina rumahtangga di negeri ini.
“Kami ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaanlah kepada YB, MB, dan semua pihak yang terlibat dalam menganjurkan program Anggun Suri untuk kami, dan memudahkan urusan kami, serta membantu rakyat Pahang dalam Negeri Pahang.

“Setakat ni yang saya nampak memang banyak membantulah dalam segi membantu untuk membina rumahtangga, Kalau buat sendiri (majlis) kan banyak kos kena keluar tapi dekat sini kita hanya bayar RM500 je, sangat memudahkan lah,” kata pasangan ini.
Seramai sepuluh pasangan diraikan di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah Kuala Lipis hari ini yang dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benta.
Turut hadir, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato’ Sri Abdul Rahman Hj Mohamad yang juga Ahli Parlimen Lipis; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, YB. Dato’ Mustapha Haji Long; dan Pegawai Daerah Lipis, Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim. -PAHANGMEDIA

