Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul HafizAwang
BENTONG, 13 DISEMBER 2025 : Seramai lapan pasangan pengantin diraikan dalam Program Anggun Suri Tahun 2025 Daerah Bentong yang berlangsung di Dewan Sultan Haji Ahmad Shah, Majlis Perbandaran Bentong hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam berkata, program di bawah Inisiatif Makmur Pahang (IM Pahang) merupakan cetusan idea YAB Menteri Besar Pahang sebagai usaha meringankan beban masyarakat khususnya golongan B40 dan belia yang ingin mendirikan rumah tangga.

Menurutnya, lapan pasangan terbabit telah melalui keseluruhan proses perkahwinan bermula daripada sesi temuduga, akad nikah sehingga diraikan dalam majlis persandingan hari ini.
“Dan alhamdulillah juga kehadiran daripada para tetamu jemputan di sebelah lelaki dan juga perempuan, alhamdulillah dapat bersama-sama meraikan program ini dan juga apa yang telah pun diilhamkan oleh Kerajaan Negeri ini dapat dilaksanakan dengan lebih baik, insyaAllah,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan majlis berkenaan selaku wakil rasmi YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

Majlis tersebut turut dihadiri Pegawai Daerah Bentong, YH Dato’ Mohamad Shahid Ismail; Pengerusi Majlis Pembangunan Wanita Pahang Parlimen Bentong, YH Dato’ Roslin Abdul Rahman serta barisan kepimpinan setempat.
Katanya, penganjuran Anggun Suri di Bentong tampil dengan kelainan tersendiri termasuk konsep masakan yang berbeza daripada kebiasaan kenduri lain, selain penglibatan jawatankuasa pelaksana yang unik dan berstruktur.
“Dan persandingan juga kita buat secara beramai-ramai (mengikut) konsep Anggun Suri dan kita tidak larilah daripada asas dia iaitu untuk kita menterjemahkan kepada masyarakat bahawanya dengan adanya persandingan ini memberikan pandangan yang positif bahawanya kita nak meraikan kedua-dua pengantin dengan hasrat dan tuntutan agama kita sendiri,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menyeru golongan sasar khususnya belia dan B40 supaya tidak berasa malu atau segan untuk menyertai program tersebut pada masa hadapan.
“Program inisiatif Kerajaan Negeri untuk membantu masyarakat di luar sana untuk meringankan beban. Kita taja dewan hari ini ya, kita taja makan dan minum, taja lagi cenderahati, taja lagi konsultan untuk meraikan program dan pelbagai lagi.
“Saya menyerulah kepada rakan-rakan di luar sana, anak-anak muda di luar sana kita bolehlah tahun depan jumpa dengan Dato’ Roslin untuk teruskan lagi dengan perkara ini insyaAllah,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

