Oleh : Norhafizan Zulkifli
BENTONG, 13 DISEMBER 2025 : Pasangan pengantin muda menzahirkan rasa bertuah apabila terpilih untuk meraikan hari bahagia mereka dalam Program Anggun Suri Tahun 2025 Daerah Bentong yang diadakan di Dewan Sultan Haji Ahmad Shah Majlis Perbandaran Bentong, di sini hari ini.
Pasangan pengantin, Muhammad Aiman Hazim Azani, 25 dan Nur Aina Izzati Nur Azhar, 24, berkata, program itu amat membantu dari segi kos perkahwinan yang semakin meningkat ketika ini.
Menurut Muhammad Aiman, mereka memilih program Anggun Suri kerana hampir keseluruhan perbelanjaan majlis ditanggung oleh Kerajaan Negeri Pahang.

Beliau turut menyifatkan peluang menyertai program berkenaan sebagai sesuatu yang amat berharga dan jarang ditawarkan oleh negeri lain.
“Saya dan isteri rasa bertuah sebab dapat peluang daripada Kerajaan Negeri Pahang. Kalau negeri lain, kalau tak silap saya tak adalah.
“Dan saya juga lihat selain daripada Anggun Suri pelbagai lagi sebenarnya bantuan yang diberi oleh Kerajaan Negeri Pahang. Contohnya macam, bantuan komputer riba kepada adik dia (isteri). Baru dapat dalam minggu lepas, kalau tak silap saya,” katanya.
Dalam masa sama, pasangan Nur Shakirah Shaari, 24, dan Muhammad Irin Izumi Ahmad, 25, turut berkongsi pandangan positif terhadap inisiatif tersebut.

Menurut Nur Shakirah, program Anggun Suri membantu pasangan pengantin menjimatkan perbelanjaan terutama ketika berdepan dengan kos sara hidup yang tinggi.
“Sebab dia dapat jimatkan kita oranglah. Sebab kita kan sekarang ekonomi kan tinggi kan. Kita boleh jimat kat situlah. (Keluarga) semua okey. Sebab tanya dia orang dulu sebelum ‘join’ itu,” katanya.
Kedua-dua pasangan merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang serta Menteri Besar Pahang atas penganjuran Pakej Anggun Suri Bentong yang disifatkan sebagai inisiatif prihatin dan berimpak tinggi kepada masyarakat.
“Terima kasih Menteri Besar Pahang untuk pakej Anggun Suri Bentong ini. Terima kasih Tok Wan,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

