Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 12 DISEMBER 2025 : YAB. Menteri Besar Pahang memperbetulkan kenyataan YB. Cheka berkenaan Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak RM500 kepada penjawat awam negeri ini sebelum ini.
Menurut Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, Kerajaan Negeri Pahang konsisten dalam menzahirkan penghargaan kepada penjawat awam negeri melalui BKK yang nilainya jauh lebih besar daripada kenyataan YB. Cheka, YB Dato’ Sri Haji Tuan Ibrahim Tuan Man.
“Saya juga ingin perbetulkan kenyataan Yang Berhormat Cheka yang menyebut penjawat awam mendapat RM500 sebelum ini. Hakikatnya, Kerajaan Negeri tidak pernah sekali pun mengabaikan kebajikan, jasa dan kesetiaan penjawat awam negeri.
“Sejak tahun 2022 hingga 2025, Kerajaan Negeri secara konsisten menzahirkan penghargaan kepada penjawat awam negeri melalui Bantuan Khas Kewangan (BKK) yang nilainya jauh lebih besar daripada apa yang dinyatakan oleh Yang Berhormat Cheka. Saya dah semak hansard dan memang benar Yang Berhormat Cheka berkata demikian.
“Untuk makluman Yang Berhormat Cheka serta Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, rekod sebenar Bantuan Khas Kewangan untuk penjawat awam negeri Pahang adalah seperti berikut pada 2022, RM1,200; 2023 (satu setengah bulan gaji; 2024 (satu setengah bulan gaji; 2025 (satu setengah bulan gaji); dan 2026 (dua bulan gaji), tertinggi pernah diberikan Kerajaan Negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ucapan penggulungan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri juga tidak melupakan khidmat bakti penjawat awam Persekutuan dengan memberikan Insentif Khas Pahang 1st berjumlah RM200 kepada 18,743 penjawat awam Persekutuan di negeri ini.
“Sebagai tanda penghargaan dan kasih sayang, Kerajaan Negeri juga tidak melupakan khidmat bakti penjawat awam Persekutuan dengan memberikan Insentif Khas Pahang 1st berjumlah RM200 kepada setiap 18,743 penjawat awam Persekutuan yang berpendapatan di bawah RM3,000.
“Ini merupakan komitmen Kerajaan Negeri yang sentiasa menghargai penjawat awam sebagai nadi penyampaian perkhidmatan rakyat.
“Segala ini membuktikan bahawa Kerajaan Negeri konsisten, bertanggungjawab dan komited, bukan sahaja dalam merangka dasar, tetapi juga dalam menzahirkan penghargaan kepada mereka yang memastikan dasar ini berjaya dilaksanakan,” katanya. -PAHANGMEDIA

