Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 11 DISEMBER 2025 : Pahang memperkukuhkan komitmen terhadap sektor agromakanan dengan peruntukan sebanyak RM68.63 juta dalam Belanjawan Pahang 2026 yang telah dibentangkan pada 5 Disember lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak, berkata peruntukan itu diharap dapat mengukuhkan kesejahteraan petani, pekebun, penternak dan komuniti luar bandar melalui pelbagai inisiatif strategik.
“Kita mengharapkan insyaAllah ianya dapat mengukuhkan kesejahteraan petani, pekebun, penternak dan komuniti luar bandar.
“Dengan pelaksanaan pelbagai inisiatif strategik termasuk pemodenan pertanian, pengoptimuman tanah terbiar, sokongan geran dan pinjaman kepada belia, latihan teknikal serta pembangunan rantaian, nilai hasil tani tempatan lebih berdaya saing dan berkualiti,” katanya berucap dalam sesi penggulungan Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang hari ini.
Beliau dalam pada itu turut memaklumkan perkembangan positif industri ternakan negeri itu apabila jumlah lembu wagyu di Bukit Kajang, Raub meningkat daripada 160 ekor kepada hampir 500 ekor.
Selain itu, katanya, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah meluluskan peruntukan kepada Yayasan Pahang untuk memulakan projek ternakan 800 ekor lembu Brahman dari Darwin, Australia.
“Kini, ada tambahan 800 ekor lagi dan ianya sedang diternak dalam ladang-ladang sawit kita di bawah program integrasi,” ujarnya.
Kerajaan Negeri dalam pada itu juga akan memperkenalkan lebih banyak pendekatan dinamik berasaskan teknologi, termasuk pembinaan Projek Sustainable Modern Agriculture Cameron Highlands (SMACH) Agropark dengan kos anggaran RM2 juta. -PAHANGMEDIA

