Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 11 DISEMBER 2025 : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Pahang telah berjaya membuat rampasan berjumlah RM2.3 juta setakat 9 Disember lepas.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang, YB. Tuan Sim Chon Siang, sebanyak 88,727 premis perniagaan telah diperiksa dalam tempoh sama.
“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Pahang sentiasa menjalankan tugas-tugas penguatkuasaan seperti pemeriksaan dan pemantauan ke atas premis-premis perniagaan bagi memastikan peniaga sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan seterusnya melindungi hak-hak pengguna.
“Sehingga 9 Disember 2025, sejumlah 88,727 premis perniagaan telah diperiksa di mana sebanyak 931 kes telah dihasilkan dengan nilai rampasan berjumlah RM2,309,720.85 dan kutipan kompaun berjumlah RM266,420,” katanya.
Beliau berkata, KPDN Negeri Pahang telah menetapkan harga beberapa barangan terpilih yang menjadi tumpuan semasa musim perayaan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP).
“Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) turut dilaksanakan dengan matlamat untuk mengawal harga barangan keperluan semasa musim perayaan bagi mengelakkan peniaga menaikkan harga barang sewenang-wenangnya.
“KPDN Negeri Pahang kini juga giat melaksanakan pemerkasaan Kempen KITA GEMPUR secara gerakan massa sebagai usaha strategik mencegah ketirisan barang kawalan dan subsidi.
“Ini kerana ketirisan barang kawalan dan bersubsidi di negara kita amnya dan Negeri Pahang khasnya terus menjadi isu kritikal yang memberi kesan besar terhadap kesejahteraan rakyat serta kestabilan ekonomi negara,” katanya.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri Pahang juga akan meneruskan program Jualan Makmur dengan peruntukan sebanyak RM7.56 juta.
“Melihat kepada sambutan yang amat menggalakkan daripada rakyat Pahang, Kerajaan Negeri akan meneruskan program Jualan Makmur ini untuk membantu orang ramai mendapatkan barangan asas pada harga yang berpatutan khususnya pada musim perayaan utama dengan peruntukan sebanyak RM7.56 juta.
“Program ini berkolaborasi bersama pemain industri sektor peruncitan seperti pasar raya dan hypermarket yang menawarkan penjimatan harga barangan keperluan harian di antara 10 hingga 30 peratus lebih murah daripada harga pasaran tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang. -PAHANGMEDIA

