Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 11 DISEMBER 2025 : Negeri Pahang akan menerima pelaksanaan projek mega Carbon Capture & Storage (CCS) Southern Hub oleh Petronas CCS Solutions Sdn. Bhd., dengan anggaran awal pelaburan RM5 bilion.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib, berkata projek peringkat persekutuan itu katanya menyokong agenda sifar karbon negara menjelang 2050.
“Hab ini dijangka memulakan suntikan pertamanya ke dalam telaga minyak terpakai Duyong pada tahun 2029 dan akan memainkan peranan penting dalam usaha pengurangan pelepasan karbon khususnya bagi industri-industri hard-to-abate seperti simen dan besi yang mengeluarkan gas karbon dioksida dengan banyak sama ada di dalam dan luar negara.
“Lokasi hab ini amat strategik untuk mewujudkan rantaian nilai CCS yang bersepadu serta pembangunan masa depan, dan dijangka membuka peluang ekonomi baharu serta memberi manfaat signifikan kepada rakyat,” katanya ketika sesi penggulungan Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Selain itu katanya, Pahang turut menerima pelaburan pembuatan rim kenderaan elektrik oleh Sinolion Industry Group di Gebeng membabitkan nilai RM800 juta bagi fasa satu, yang dijangka mewujudkan sehingga 1,000 peluang pekerjaan.
“Pihak pelabur telah menyatakan komitmen untuk membangunkan fasiliti Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dan juga pemindahan teknologi.
“Untuk fasa satu, dijangka tiga juta unit rim kenderaan dapat dihasilkan dalam setahun. Projek milik syarikat ini telah disenaraikan sebagai projek berimpak tinggi,” katanya lagi.
Tambahnya, Invest Pahang telah memperkenalkan Matriks Projek Impak Tinggi bagi memastikan proses penilaian pelaburan dilakukan secara telus dan teratur berdasarkan impak ekonomi, sosial, teknologi serta pematuhan ESG.
“Melalui sistem ini, sebanyak 46 projek sejak 2022 hingga 2025 dikenal pasti sebagai projek berimpak tinggi dan diberikan keutamaan termasuk laluan hijau (green lane) bagi mempercepatkan kelulusan serta pelaksanaan,” ujarnya.
Mengulas pembangunan masa hadapan, beliau berkata limpahan ekonomi daripada Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijangka beroperasi Januari 2027 bakal mengubah landskap perindustrian negeri.
Sambungan rel dari Lembah Klang ke Pelabuhan Kuantan menjadikan Pahang pintu gerbang logistik strategik dengan stesen-stesen berhampiran taman perindustrian di Bentong, Maran, Temerloh, Gambang dan Pelabuhan Kuantan.
Katanya lagi, Kerajaan Negeri turut merangka Economic Acceleration Project (EAP) di setiap stesen ECRL melibatkan pembangunan Industrial Park Transit-Oriented Development (TOD) dan Logistic Hub/Cargo-Oriented Development bagi memaksimumkan penggunaan jaringan rel itu. -PAHANGMEDIA

