Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 11 DISEMBER 2025 : Kerajaan Negeri melalui Jabatan Kesihatan Pahang telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memperkukuh kesihatan mental rakyat negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim berkata, antara inisiatifnya adalah Pengukuhan Saringan dan Promosi Kesihatan Mental Pelaksanaan saringan awal melalui NHSI dan MyMinda di fasiliti kesihatan primer serta program outreach ke sekolah, tempat kerja dan komuniti.
“Selain itu, disokong juga melalui kempen seperti Let’s Talk Minda Sihat dan World Mental Health Day bagi mengesan risiko tekanan, keresahan dan kemurungan secara awal. Sehingga Mei 2025, 34,727 individu di seluruh negeri Pahang telah disaring, 541 telah dirujuk untuk intervensi lanjut dan 70 orang telah disahkan mempunyai penyakit mental.
“Pemantapan Perkhidmatan di Fasiliti Kesihatan Penempatan 26 orang Pegawai Psikologi Kaunseling di klinik kesihatan di semua daerah dan perkhidmatan psikiatri secara visiting di 12 hospital negeri; Pengembangan Perkhidmatan MENTARI Perkhidmatan Pusat Kesihatan Mental Komuniti (MENTARI) di HTAA, HoSHAS, Hospital Bentong, Hospital Lipis, Hospital Pekan, Klinik Kesihatan Bandar Mentakab dan Klinik Kesihatan Balok di Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Semantan, YB Tuan Hasanuddin Salim pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini. -PAHANGMEDIA

